Monday, August 9, 2010

MINGGU 4: JURNAL REFLEKSI




Selamat Sejahtera.


Entri saya pada minggu ke-4 ini adalah refleksi berkenaan dengan Muzik Wayang Kulit. Sebelum saya menghuraikan Muzik Wayang Kulit dengan lebih jauh, ingin saya berkongsi dengan para pembaca tebtang perjalanan kuliah pada minggu ini. Kuliah pada minggu ini bermula agak lewat iaitu lewat 40minit dari masa yang sepatutnya. Ini kerana, pensyarah kami, En. Amran telah membahagikan tajuk-tajuk tugasan yang harus dibentangkan kepada setiap kumpulan. setiap kumpulan haruslah terdiri daripada lima orang. Tajuk yang telah kumpulan saya pilih adalah berkenaan Orkestra Cina Moden. Pengetahuan saya tentang Orkestra Cina Moden ini masih terlalu cetek. Diharap, dengan tugasan yang diberikan ini akan menambah input baru yang berguna untuk dibentangkan nanti. Selepas itu, En. Amran mengedarkan borang kaji selidik yang harus diisi oleh pelajar yang lewat mendaftar kursus ini.

Seterusnya, kelas dimulakan dengan tayangan empat video yang berkaitan dengan 'bayang' seperti yang digunakan dalam wayang kulit. Tujuan En. Amran menayangkan video-video ini adalah untuk kami mengosongkan fikiran yang sedia ada (berkenaan dengan tugasan yang diberikan) untuk lebih fokus kepada pembelajaran dalam kuliah. Ini juga adalah satu tips yang berguna yang boleh kita aplikasikan semasa di sekolah kelak. Video yang ditayangkan amat menarik perhatian saya kerana apa yang ditunjukkan amatlah kreatif dan xmampu dicapai oleh akal biasa. Bayangkan, dengan menggunakan bayang-bayang sahaja, banyak bentuk dapat dihasilkan dan ianya amatlah menarik.

En. Amran ada juga mengajukan soalan berkenaan video yang telah ditayangkan. Soalannya berbunyi seperti berikut:-

'Pada pandangan anda, daripada mana video tersebut dihasilkan.'

Jawapannya sudah tentu ialah bayang-bayang. Konsepnya sama dengan wayang kulit. Yang membezakannya adalah wayang kulit menggunakan patung dan video tersebut menggunakan pergerakan tubuh manusia.

*Di bawah ini adalah satu contoh video yang menggunakan bayang atau shadow yang menggunakan pergerakan tangan.




Bersesuaianlah dengan tajuk kuliah pada minggu ini yang ingin kita kupas berkenaan dengan Wayang Kulit. Apa yang saya tahu, pertunjukkan Wayang Kulit hanya dapat dilihat di negeri Kelantan sahaja. Tetapi, sangkaan saya jauh meleset kerana Wayang Kulit bukan sahaja ada di Kelantan, malah di tempat-tempat lain juga seperti Indonesia, Thailand, Kedah, dan juga Perlis. Jika dilihat dari sudut persembahan pada awal kemunculannya, mungkin terdapat banyak pembaharuan yang berlaku. Termasuklah dari segi ,mutu persembahan, penggunaan alatan canggih, dan sebagainya. En. Amran memfokuskan kuliah pada minggu ini kepada tiga perkara iaitu:-

1. Jenis Wayang Kulit
2. Alat Muzik Wayang Kulit
3. Perbezaan Wayang Kulit





MUZIK WAYANG KULIT

Wayang Kulit adalah satu bentuk teater tradisional kuno Malaysia yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang di dalam setiap persembahannya. Bayang-bayang yang terhasil daripada patung-patung kulit di atas kelir yang terdiri dari pelbagai watak methologi dan khayalan dilarikan oleh seorang Dalang. Wayang kulit juga berbentuk teater purba yang dimainkan oleh orkestra tertentu untuk tujuan mengiringi gerak geri wayang. Bukan itu sahaja, wayang kulit juga mengandungi pelbagai repertoire lagu mangikut kehendak cerita yang ingin dipersembahkan. Persembahan wayang kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan serta alat tiupan dan bertali seperti serunai dan rebab.

http://www.kpkk.gov.my/pdf/buku/wayang_kulit.pdf


Ada beberapa komponen penting di dalam Wayang Kulit iaitu seni muzik, hikayat, lakunan, pengetahuan agama, dan seni lukis/ukir. Kompenen pertama ialah seni muzik. Seni muzik wayang kulit amat unik dan memerlukan keahlian khusus. Lebih dari 35 buah lagu mesti dihafal oleh dalang dan panjaknya. Kompenen kedua ialah hikayat. Dalang haruslah mahir dalam hikayat-hikayat. Contohnya bersifat Paramakawi dan Paramasastra. Kompenen ketiga ialah lakunan. Dalang harus pandai melakunkan cerita supaya menarik dalam membawa suasana gembira, takut, garang, kasih sayang, sedih, dan sebagainya. Kompenen keempat ialah pengetahuan agama. Setiap persembahan wayang kulit haruslah mempunyai pengajaran yang bercorak agama. Ianya bertujuan untuk menjadi tauladan dan ikutan kepada masyarakat. Kompenen yang terakhir ialah seni lukis/ukir. Seni lukis/ukir adalah ukiran patung yang dipahat. Sebagai contoh, ukiran yang terdapat pada patung wayang kulit Indonesia dimana ukirannya lebih halus dan teliti serta memiliki watak dan fungsi tertentu.






JENIS DAN ALAT MUZIK WAYANG KULIT

Wayang Kulit Jawa

Wayang Kulit Jawa adalah berasal dari negara Indonesia. Ia juga dikenali sebagai Wayang Purwa yang dipersembahkan oleh orang yang berketurunan Jawa yang menetap di Johor dan Selangor. Wayang kulit ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri wayang kulit purwa asli iaitu bertunaskan epik Ramayana dan Mahabrata. Persembahan wayang kulit ini diiringi muzik gamelan Jawa yang terdiri daripada pemuzik dan penyanyi.




Isi cerita, patung-patung, dan bahasa

Cerita wayang kulit ini adalah berkisar tentang cerita Pendawa Jawa yang diambil dari epik Mahabharata India. Patung-patung wayang kulit Jawa adalah menyerupai patung wayang kulit Kelantan. Tetapi, perbezaan yang ketara pada patung wayang kulit ini adalah dari segi sendi patung yang kedua-duanya dapat bergerak. Bukan itu sahaja, bentuk mata juga adalah berlainan dimana bagi watak pahlawan, matanya berbentuk mata Jaitan. Manakala untuk watak jahat dan watak pertapa, masing-masing memiliki mata berbentuk mata pepelangan dan mata prebes. Dari segi bahasa dan dialek pula, wayang kulit Jawa menggunakan bahasa Jawa di dalam setiap persembahannya. Namun, dialek Melayu tempatan juga tidak dilupakan dan ianya diselitkan dalam dialog cerita.



Patung-patung Wayang Kulit Jawa


Alat Muzik

Di dalam persembahan Wayang Kulit Jawa, alat muzik yang digunakan adalah dari kategori membranofon, iaitu khendang (gendang) dan dari kategori idiofon iaitu zailofon (gambang), metalofon gangsa (saron, demong, slantem, dan gender), gong-gong (kempul, ageng, dan suwukan).



Pemuzik dalam persembahan Wayang Kulit Jawa






Wayang Gedek

Wayang Gedek berasal dari negara Thailand. Kebanyakan persembahan Wayang Gedek dimainkan di negeri-negeri sebelah utara Malaysia terutamanya di Kedah dan Perlis. Menerima pengaruh dari Siam iaitu permainan wayang kulit yang dinamakan Nang Thalung, iaitu versi asalnya yang merupakan seni persembahan tradisional berasaskan bayang yang agak popular di Thailand Selatan.Ceritanya adalah berkisar epik Ramayana - Ramakien yang didominan dengan pengaruh dari Siam. Tidak hairanlah di dalam persembahannya, bahasa campuran Thai dan tempatan digunakan.




Isi cerita, patung-patung, dan bahasa

Cerita Wayang Gedek ini mempunyai persamaan dengan Nang Thalung. Tetapi kini, ianya lebih berunsurkan mengenai kehidupan sekeliling dan babak-babak cerita yang popular. Patung-patung bagi Wayang Gedek adalah bersaiz kecil. Ia mempunyai sendi yang hanya boleh digerakkan sebelah sendi sahaja. Muka patung Wayang Gedek diukir menghadap ke hadapan. Bukan itu sahaja, pengaruh Nang Thalung juga ditunjukkan dari segi ukiran patung, pakaian, perhiasan, dan sebagainya. Dari segi pemakaian, patung Wayang Gedek ini bercirikan moden seperti perempuan yang berkebaya, orang India dan Melayu serta patung dari epik Ramayana. Dari segi bahasa, Wayang Gedek menggunakan dialek Melayu Kedah dan loghat Siam di dalam setiap persembahannya. Dua watak utama dalam Wayang Gedek ialah Etong dan Ekau.



Watak-watak dalam Wayang Gedek


Alat Muzik

Di dalam persembahan Wayang Gedek, alat muzik yang digunakan adalah dari kategori kordofon iaitu Saw Oo dan Saw Duang, sejenis alat muzik yang digesek. Ianya juga menggunakan alat muzik dari kategori membranofon iaitu klog that (geduk), dan thon (gedombak). Alat muzik seterusnya adalah dari kategori aerofon dan idiofon iaitu Pi Jawa (shawm) dan alat muzik simbal (ching) dan gong chime (mong). Lain-lain alat yang terlibat adalah serunai (aerofon), canang dan kesi.



Pi Jawa (Shawm)






Wayang Kulit Melayu
(Wayang Jawa)


Wayang Kulit Melayu (Wayang Jawa) berasal dari Kedah dan Kelantan. Ianya tercetus pada abad 19 atau 20 yang berkembang di bawah naungan Raja bagi menghiburkan para-para bangsawan pada masa itu di istana Patani (epos Mahabrata). Wayang kulit ini juga banyak dipengaruhi oleh Wayang Purwa dari negara Indonesia. Sehingga kini, wayang kulit Melayu ini masih lagi popular dan dimainkan di Kampung Chicha, Kelantan.




Isi cerita, patung-patung, dan bahasa

Cerita wayang kulit ini juga sama dengan cerita Wayang Kulit Jawa dimana ianya juga berkisar tentang cerita dari epik Mahabharata, terutamanya cerita Pendawa Lima. Selain itu, ceritanya juga banyak dipengaruhi oleh cerita-cerita Panji. Sama seperti patung dalam Wayang Purwo, patung Wayang Kulit Melayu juga mempunyai sendi yang boleh digerak kedua belah. Untuk mengenalpasti bentuk patung ini amat mudah iaitu hanya memerhatikan kedudukan kepala patung. Biasanya, patung yang berwatak baik menundukkan kepalanya ke bawah serta tubuhnya adalah bersaiz kecil. Manakala patung yang berwatak jahat, kasar, dan sombong pula biasanya memiliki hidung yang besar dan mendongak ke atas. Bentuk patung Wayang Kulit Melayu adalah mengikut stail Pulau Jawa. dari segi penggunaan bahasa pula, Wayang Kulit Melayu menggunakan bahasa Jawa selain dialek Melayu tempatan diselitkan juga.


Patung berwatak baik dan jahat


Alat Muzik

Di dalam persembahan Wayang Kulit Melayu, alat muzik yang digunakan adalah dari kategori kordofon (rebab dua tali), membranofon (gendang ibu dan anak seperti dalam wayang kulit Kelantan), dan idiofon (mong, canang, kesi, dan gong). Mong adalah bonang dimana talinya diapungkan bagi mengeluarkan gema.


Rebab dua tali





Wayang Kulit Kelantan

Wayang Kulit Kelantan adalah sebuah teater rakyat yang sangat popular di sana pada zaman lalu. Oleh kerana sesuatu hiburan sukar memasuki negeri Kelantan, wayang kulit ini menjadi sambutan dan diterima baik di sana. Wayang kulit Kelantan masih lagi mengekalkan epik Ramayana iaitu cerita Maharaja Rawana (Seri Rama, Laksamana, Siti Dewi, Rawana, dan Hanuman Kera). Cerita-cerita yang sering dipersembahkan adalah cerita-cerita Melayu, Panji, dan tempatan. Kelainan yang terdapat dalam wayang kulit Kelantan adalah adanya watak peran ataupun lawak yang digelar Pak Dogol dan Wak Long. Sebenarnya, watak peran kini semakin banyak seperti Wak Yoh, Said dan sebagainya.




Isi cerita, patung-patung, dan bahasa

Cerita Wayang Kulit Kelantan adalah berkisar tentang cerita Hikayat Seri Rama yang disadur dari himpunan epik Ramayana (India). Ukiran yang terdapat pada patung wayang kulit ini mempunyai banyak persamaan dengan patung-patung Patani. Ianya diukir berbentuk mengiring. Ianya juga diukir berdiri di atas kenderaan. Sendi patung ini hanya boleh digerakkan sebelah sahaja iaitu pada bahagian hadapan. Tangan yang dapat digerakkan itu turut memegang senjata atau alat kebesaran lain. Bagi mempamerkan pengaruh Patani, dialek Melayu Kelantan dijadikan bahasa pengantar di dalam persembahan teater ini.




Alat Muzik

Di dalam persembahan wayang kulit Kelantan, alat muzik yang digunakan adalah dari kategori membranofon (geduk, gendang, dan gedombak), aerofon (serunai yang mempunyai dua pic), dan idiofon (canang, kesi, dan tetawak).



Serunai dan Tetawak





Setelah selesai mempelajari bab ini, dapatlah saya menyatakan persamaan dan perbezaan yang terdapat di dalam setiap wayang kulit tersebut. Perbezaan dan persamaan adalah seperti berikut:-






Selesai sudah topik pada hari ini, banyak perkara baru telah saya pelajari. Tetapi, pernahkan kita terfikir sampai bilakah Wayang Kulit mampu bertahan? Sama-samalah kita menjaga kesenian dan aset warisan budaya kita agar ianya tidak pupus dan tenggelam mengikut arus zaman. Renung-renungkanlah....





Teruskan Membaca...

Saturday, July 31, 2010

MINGGU 3: JURNAL REFLEKSI

Assalamua'laikum dan Selamat Sejahtera.

Terlalu cepat masa berlalu dan sekarang kita telah sampai kepada posting untuk minggu ketiga. 'Content' di dalam kursus ini semakin menarik dan pastinya saya dan semua rakan-rakan semakin seronok untuk mengikuti kursus ini. Nasiblah kepada mereka yang tidak hadir ke kuliah ini ye?? Baiklah, pada minggu ketiga ini, kami semua telah didedahkan kepada kaedah klasifikasi muzik tradisional, kategori muzik tradisional, dan ciri-ciri muzik tradisional.

Apakah perspektif adaptasi dan idiosinkretik? Manurut penjelasan yang diberikan oleh En. Amran, adaptional atau penyesuaian juga dikenali sebagai berorganik. Jika dilihat dari sudut istilah berorganik itu sendiri, ia membawa erti benda hidup. Untuk dikaitkan di dalam kursus ini, benda hidup itu bukanlah bakteria ataupun manusia. Benda hidup yang dimaksudkan adalah muzik. Ya, muzik itulah suatu benda hidup yang boleh dikatakan tidak semua orang tahu dan merasainya. Pernahkan kita terfikir,kenapakah muzik dapat berkembang luas sehingga mempengarui sesuatu budaya yang terdapat di seluruh dunia? Inilah yang dikatakan muzik itu hidup. Walaupun perkembangan muzik meliputi hingga ke seluruh dunia, namun, ia tidak dapat lari dari memiliki persamaan mengikiu budaya masing-masing. Mungkin yang membezakan sesuatu muzik itu dari segi alat muzik yang digunakan, bila dipersembahkan, dan sebagainya.

Salah satu muzik yang diketengahkan di dalam kuliah pada kali ini adalah muzik ghazal. Seperti yang kita tahu, ghazal berasal dari tradisi muzik Arab. Tetapi, bila ianya sampai ke sini, telah berlaku banyak perubahan dan juga perbezaan dari segi cara penyampaian, alat muzik yang dimainkan, tarian dan sebagainya. Ghazal ini terbahagi pula kepada beberapa negeri seperti di Johor dan Penang. Apa yang menarik minat saya, En. Amran ada mengatakan bahawa penyanyi bagi sesebuah lagu ghazal itu dipanggil USTAZ. Sesuatu yang menarik, bukan? Panggil USTAZ itu adalah panggilan yang merujuk kepada 'guru'. Selepas ini, jangan pula ada yang mengatakan USTAZ naik ke pentas untuk menyanyi ghazal ya?

Pernahkah kamu semua mendengar apakah idiosyncratic? Idiosyncratic merujuk gaya atau cara tersendiri dan sulit. Ini bermaksud, sesuatu alat muzik itu masih lagi sama dan ianya berbeza mubgkin dari segi bahan yang digunakan dan sebagainya. Sebagai contoh, alat muzik gambus dan alat muzik gambus hadramaut.

Seperti yang diterangkan oleh En. Amran, budaya muzik Cina, India dan Eropah mempunyai sistem penyusunan alat muzik yang telah diklasifikasi kepada tiga iaitu perkusi (percussion), bertali(strings), dan tiupan (wind). Bagi alat tiupan (wind), ia terbahagi pula kepada dua bahagian iaitu tiup kayu (woodwind) brass.

Kuliah seterusnya adalah berkaitan ciri-ciri utama muzik tradisional. Ianya terbahagi kepada dua iaitu tradisi kecil dan tradisi besar. Muzik tradisi kecil adalah muuzik tradisional budaya rakyat. Biasanya dipersembahkan semasa meraikan sesuatu acara keramaian yang rata-ratanya dihadiri oleh orang kampung atau rakyat biasa. Berlainan pula dengan muzik tradisi besar. Ianya adalah muzik budaya klasik atau istana. Muzik ini dipersembahkan dalam acara-acara besar yang melibatkan orang-orang istana dan kenamaan. Muzik tradisi Malaysia ini juga terbahagi kepada empat kategori iaitu muzik rakyat, muzik klasik, muzik sinkretik,dan muzik kontemp. Muzik rakyat adalah muzik yang tidak pernah berubah dan melibatkan kaedah peniruan (role method). Muzik ini juga mengaitkan unsur-unsur animisme di dalamnya seperti wayang kulit dan kuda kepang. Ia didominasi oleh golongan petani dan orang biasa. Muzik klasik pula menjadi asas kepada sejarah dan teorinya juga agak kukuh. Ianya terbentuk dalam transmisi intelek dan bersistematik. Muzik seperti gamelan dan nobat ini melibatkan orang-orang bandar dan istana. Muzik seterusnya adalah muzik sinkretik iaitu muzik ghazal, asli dan dondang sayang. Muzik ini menggabungkan muzik vokal dan juga tarian secara serentak. Ia juga adalah gabungan antara muzik rakyat dan juga muzik klasik yang telah menjadi sebuah budaya di bandar dan di desa. Kategori muzik yang terakhir adalah muzik kontemp. Ianya bercirikan muzik barat yang digubah leh pemuzik popular. Ia juga mempunyai sistem notasi yang bersitematik. Walaubagaimanapun, muzik ini tidak dapat bertahan lama kerana ianya akan berubah dalam jangkamasa yang singkat sahaja.


Terdapat enam ciri muzik tradisional Malaysia iaitu bentuk seni lakun utama, bentuk tarian utama, ensembel genderang, vokal dan instrumental solo, ensembel sosial popular, dan ensembel-ensembel lain. Muzik bentuk seni lakun utama adalah seperti persembahan Mak Yong, Mek Mulong, Wayang Kulit. Muzik ini bercirikan teater dan muzik wilayah,menjadikan perkusi sebagai alat muzik yang utama di dalam persembahannya. Apa yang menarik minat saya di sini adalah persembahan mek mulong yang sebelum ini tidak pernah saya ketahui. Sedikit maklumat berkaitan Mek Mulong, ianya berasal dari Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika. Selepas berlakunya persengketaan di antara Kedah dan Siam, persembahan ini menjadi semakin terkenal di setiap pelusuk negeri. Inginkan maklumat yang lebih lanjut berkenaan Mek Mulong, bolehlah klik di sini: http://ms.wikipedia.org/wiki/Mek_Mulung . Ciri yang kedua adalah muzik bentuk tarian utama. Muzik ini adalah tradisi muzik yang mengiringi tarian seperti tarian gamelan, zapin, sumazau,ngajat, dan sebagainya. Ciri yang ketiga pula adalah ensembel genderang yang mengiringi muzik bentuk tarian utama seperti kompang, hadrah, rodat, caklempong, dan sebagainya. Ciri keempat adalah vokal dan instrumental solo. Ianya juga adalah sebuah sastera secara lisan yang dipersembah dalam bentuk nyanyian. Muzik ini melibatkan seluruh aspek masyarakat. Ianya banyak dipersembahkan untuk meraikan anak yang baru lahir, sosiolisasi, dan sebagainya. Contoh vokal adalah zikir, lagu menyambut tetamu (Kayan), Pantun (Kenyah), Wa (berbentuk cerita-Kaum Kajang), Kui (Kisah penanaman padi), Timang (Iban),dan sebagainya. Ciri kelima adalah ensembel sosial popular yang dipersembahkan untuk tujuan hiburan, keramaian dan majlis perayaan. Muzik ini merupakan cantuman unsur muzik tempatan dengan unsur muzik budaya luar seperti yang terdapat dalam Ronggeng, Dondang Sayang, Keroncong, dan sebagainya. Ciri terakhir pula adalah bentuk muzik lain. Ianya belum lagi dianalisis secara mendalam. Muzik ini mempunyai pelbagai lagi genre muzik seperti jiduran berundai (Kedah) dan barongan dan bongai(N.sembilan). Bentuk Seni Lakonnya adalah seperti Rodat, Hadrah, Ghazal,Tok Slampit, Awang Batil, dan Jubang Linggang.

Secara kesimpulannya, klasifikasi, kategori, dan ciri-ciri muzik tradisional Malaysia amat luas sekali. Oleh itu, saya perlu memperbanyakkan pembacaan dan carian berkenaannya memandangkan banyak yang dipelajari di dalam kuliah yang tidak pernah saya ketahui dan terokai sebelum ini. Saya harap, dengan maklumat yang diberikan oleh En. Amran dan pengetahuan yang diambil dari sumber internet dan lain-lain dapat membantu saya dan kawan-kawan untuk lebih menerokai muzik tradisional negara sendiri. Sesungguhnya, muzik itu punyai 1001 kisah disebaliknya.

Sekian, terima kasih.
Teruskan Membaca...

Tuesday, July 27, 2010

MINGGU 2: JURNAL REFLEKSI

Assalamua'laikum dan salam sejahtera.

Kuliah pada hari Rabu (21 Julai 2010), adalah kuliah kedua yang diadakan pada minggu kedua semester ini. Keadaan kuliah pada minggu ini agak kurang selesa kerana ianya diadakan di makmal komputer. Dengan ruang yang sempit dan komputer yang terhad, sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung kami pelajar seramai 30 orang dalam satu masa. Tetapi, ianya tidak sekali mematahkan semangat kami untuk menuntut ilmu yang diajar oleh En. Amran.

Pada minggu ini, kami telah diterangkan mengenai pengenalan yang menjadi asas kepada kursus SMP2252. Di dalam topik ini, beliau telah menekankan lima elemen penting iaitu soundscape, budaya muzik, sejarah, kategori alat muzik dan konsep/struktur. Elemen pertama adalah berkaitan 'soundscape'. Secara jujurnya, saya tidak pernah mendengar dan mengerti apakah maksud 'soundscape' sebelum ini. Menurut En. Amran, Murray Schafer (1967) mentafsirkan 'sound' sebagai bunyi atau suara. Manakala 'scape', beliau mentafsirkan sebagai pemandangan. Maka, 'soundscape' adalah membawa maksud pemandangan bunyi yang merujuk kepada bagaimana karektor bunyi mengambil tempat dalam konteks lingkungan suara. Selepas itu, kami diperdengarkan pula satu rakaman. En. Amran meminta kami untuk membezakan antara bunyi paling jelas, merdu, jauh, dan selesa didengar.

Seterusnya, En. Amran meneruskan kuliah dengan memberi penerangan mengenai elemen kedua yang menjadi asas kepada kursus ini iaitu budaya muzik. Budaya muzik merangkumi tiga cabang penting iaitu komuniti, daerah, dan juga negara. Sebelum ini, saya tidak begitu faham dan mengambil tahu apa itu budaya muzik. Budaya muzik membawa erti penglibatan secara keseluruhan yang berkaitan dengan muzik. Sebagai contoh, masyarakat yang berlainan etnik mempunyai budaya yang berbeza. Budaya itu sendiri merujuk kepada 'The Way of Life' iaitu bagaimana cara atau perjalanan hidup sesebuah masyarakat yang sering diturunkan dari generasi ke generasi. Pada pendapat saya, budaya muzik mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat. sebagai contoh, kita dapat melihat berbagai kaum yang terdapat di Malaysia yang mengamalkan budaya muzik yang berlainan. Menurut En. Amran lagi, muzik membawa maksud apa sahaja yang boleh didengar tetapi ia dicipta dalam pelbagai cara oleh manusia.

Di sini, ingin saya kongsikan salah satu contoh budaya muzik di Kelantan, tempat kelahairan saya. Selain wayang kulit dan dikir barat, Kelantan juga terkenal dengan permainan 'Main Puteri'. Main Puteri dianggotai oleh dua watak utama iaitu Tuan Puteri dan Tok Minduk yang bermain rebab dan diiringi oleh paluan gendang ibu dan anak. Ketika Tuan Puteri dalam keadaan tidak sedarkan diri, semangat halus akan meresap ke dalam tubuh Tuan Puteri dan Tok Minduk akan menyoal makhluk hakus tersebut untuk memastikan punca penyakit. Main Puteri akan dimainkan selama satu hingga tiga malam untuk tujuan mengubati penyakit yang disebabkan rasukan makhluk halus, hilang semangat, ketidakseimbangan tenaga dalaman, dan juga gangguan angin. Main Puteri diiringi oleh peralatan muzik yang sama dengan Mak Yong seperti rebab, gendang dua kepala, dan tetawak.




Permainan Main Puteri

Sesungguhnya, sejarah muzik tradisional di Malaysia sangatlah menarik. Ianya merangkumi beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, sebahagian Thailand, Kampuchea, dan Filiphina yang telah dilihat dari sudut dunia Melayu lama. Antara muzik-muzik Melayu yang dipelajari pada minggu ini adalah dabus, rodat, kuda kepang, dan hadrah. Sebelum ini, kami banyak diberi pendedahan berkaitan sejarah muzik barat. Jadi, penglibatan kami di dalam kursus ini tidak sia-sia sama sekali. Kami dapat menambah pengetahuan yang sedia ada dan juga belajar banyak sejarah berkaitan muzik tradisional melayu. Sebagai contoh, jika sebelum ini, saya hanya mengetahui kuda kepang hanyalah sejenis tarian semata-mata. Tetapi kini, barulah saya tahu bahawa kuda kepang juga adalah salah satu tarian yang mempunyai unsur-unsur spiritual. En. Amran ada menayangkan video berkaitan kuda kepang ini. Pertama kali melihat tarian kuda kepang yang berunsurkan spiritual, saya begitu teruja dan ingin sekali mengetahui mengenainya dengan lebih mendalam lagi.

Kemudian, kuliah diteruskan lagi berkenaan elemen ketiga iaitu kategori muzik. Pada semester pertama, di dalam kursus Music Apreciation, kami telahpun mempelajari kategori alat muzik ini. Jadi, ianya tidak menimbulkan masalah untuk kami memahami apakah alat muzik yang terkandung di dalam kategori-kategori ini. Terdapat empat kategori alat muzik iaitu idiofon, kordofon, membranofon, dan aerofon.

Idiofon membawa maksud alat muzik yang menghasilkan bunyi daripada tindakbalas rangkanya yang bergema seperti saron dan bonang.


Bonang


Kodrofon pula membawa maksud alat muzik yang mengeluarkan bunyi dengan getaran pada tali seperti rebab, gitar, violin, cello, dan sebagainya.

Violin


Membranofon pula membawa maksud alat muzik yang menghasilkan bunyi daripada kulit yang diregangkan atau dipalu seperti gendang dan kompang.

Gendang


Dan akhir sekali adalah aerofon yang membawa maksud alat muzik yang menghasilkan bunyi daripada lubang udara seperti seruling dan flute.

Seruling

Seterusnya, elemen terakhir yang dipelajari adalah berkenaan struktur atau konsep muzik. Ianya merangkumi enam ciri-ciri penting iaitu melodi, ritma atau meter, harmoni, bentuk atau form, notasi, dan ekspresi. Sedikit kekeliruan berlaku dalam memahami istilah-istilah yang digunapakai di dalam kursus ini memandangkan sebelum ini, kami lebih terdedah kepda istilah-istilah Bahasa Inggeris walaupun maksudnya adalah sama. Tetapi, masalah ini kami dapat atasi dengan segera atas bantuan En. Amran. Walauapapun, kami dapat mempelajari banyak perkara baru selain dapat menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.

Akhir sekali, setelah mendapat banyak maklumat baru dan menarik di dalam kursus Muzik Tradisional Malaysia, rasa ingin tahu yang mendalam di dalam diri begitu membuak-buak. Ianya menjadikan saya tidak sabar-sabar lagi untuk mengikuti kuliah yang seterusnya. Harapan saya agar saya dan kawan-kawan terutamanya dari fakulti lain, akan dapat mengikuti kursus ini dengan seronok dan mendalam di bawah tunjuk ajar En. Amran.

Sekian, terima kasih.















Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SURIANI Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template