Sunday, October 31, 2010

MINGGU 13: JURNAL REFLEKSI



Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera...

Untuk pengetahuan semua, minggu ke-13 merupakan minggu yang terakhir bagi sesi pembelajaran subjek Malaysian Traditional Music - SMP2252. Selama 14 minggu mempelajarinya, banyak ilmu yang baru dapat di kongsi. Selain itu, subjek ini juga telah berjaya menjadikan teknologi sebagai bahan asas di dalam sesi P&P. Baik dari segi penggunaan IT seperti Blog, Youtube, Facebook dan sebagainya. Pada awalnya, saya merasakan amat membebankan memandangkan setiap minggu kita harus mengemaskini blog individu masing-masing. Tetapi kini, semuanya menjadi satu rutin dan kebiasaan. Saya amat yakin, selepas ini, saya pasti akan merindui segala rutin yang telah di buat selama 14 minggu ini. Syabas diucapkan kepada
En.Amran Aris, selaku pensyarah subjek Malaysian Traditional Music - SMP2252.


Tarian Singa

Seperti tarian-tarian lain yang ada di Malaysia, tarian singa juga merupakan sebuah tarian adat warisan tradisional kaum Cina. Yang menariknya, para penari akan meniru lenggok pergerakan singa apabila menarikan tarian ini. Tarian ini juga dilengkapi dengan kostum singa.

Di dalam Tarian Singa, dua orang pemain akan memainkan di bahagian hadapan kostum singa dengan menggerakkannya. Sama juga pada bahagian belakang di mana pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa. Sepanjang tarian ini dipersembahkan, masyarakat Cina amat mempercayai bahawa penggunaan alat muzik seperti gong, dram dan mercun akan membawa ong (tuah).

Di setiap negara Asia, corak dan bentuk Tarian Singa adalah berbeza. Terdapat
dua Tarian Singa yang popular iaitu Tarian Singa Utara dan Tarian Singa Selatan. Menurut sejarah Tarian Singa, tarian ini telah dianggap sebagai pelindung kepada kebanyakkan adat orang Asia yang berketurunan Cina. Ianya juga dipercayai telah bermula lebih 1000 tahun yang lalu. Di Malaysia, Tarian Singa telah bermula pada abad ke-19 oleh penghijrahan masyarakat Cina dari negara China. Ianya dipersembahkan ketika perayaan Tahun Baru Cina.

Tarian Singa Utara dan Tarian Singa Selatan membawa pengertian yang berbeza. Tarian Singa Selatan lebih membawa kepada perlambangan alam sekitar. Ianya dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan meminta tuah. Dari sudut penceritaan pula, Tarian Singa Selatan membawa cerita tiga wilayah (Three Kingdoms). Tarian Singa Utara pula digunakan sebagai hiburan diraja. Ianya lebih bersifat pementasan akrobatik.


Alat Muzik


Gambar 1 :Luo (gong)

Luo adalah gong gangsa yang berbingkai nipis. Permukaannya rata dan leper dipukul dengan kayu pemukul. Alat ini digantung. Pemain akan meletakkan satu tangan di bahagian belakang untuk mengawal bunyi yang dihasilkan semasa alat ini dimainkan.


Gambar 2 : Bo

Merupakan simbal yang diperbuat daripada gangsa. Alat ini dipegang dan dipukul bersama oleh pemain.


Gambar 3 : Gendang (Chebagu)

Merupakan gendang besar berbentuk tong dan hanya mempunyai satu permukaan kulit pada bahagian atas yang dipakukan pada badan kayu dan paku besi. Di dalamnya terdapat beberapa dawai yang memberikan ton warna yang berlainan.



Muzik genderang yang bermeter duple dan bertektur. polifoni. Corak gendangnya berhubungkait dengan gerakan singa. Lagu 'Gendang 7 Bintang' telah mengiringi Tarian Chai Ching.

Muzik tarian singa dibahagikan kepada 5 bahagian mengikut gerakan singa.

*
Kemunculan singa - titiran
*
Singa menyembah - titiran
*
Singa berjalan - irama bertitik
* Singa menjumpai makanan - titiran

*
Ulang 1 dan 3



Video 1 : Tarian Singa


Terima Kasih...





Teruskan Membaca...

Tuesday, October 26, 2010

MINGGU 12: JURNAL REFLEKSI



Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera...

Penulisan jurnal refleksi pada minggu ini sudah masuk minggu ke-12. Bererti ada lagi dua minggu untuk kita menghabiskan subjek 'Malaysian Traditional Music' pada semester ini. Bagitu cepat masa berlalu, bukan? Sepanjang minggu ini, kesibukan akan beransur pergi kerana saya dan rakan-rakan yang lain sudah menjalani Penilaian Akhir untuk subjek 'Instrumental Ensemble III dan 'Composition'. Tahniah dan syabas kepada mereka yang terlibat kerana telah berjaya melakukan yang terbaik untuk penilaian akhir ini.

Baiklah, pada minggu ini, kuliah masih lagi berjalan seperti biasa. Tajuk kuliah pada minggu ini adalah Gendang 24 Musim. Sebenarnya, sebelum ini saya belum pernah mendengar dan mengetahui apakah Gendang 24 Musim. Selepas mengikuti kuliah ini, segala-galanya terungkai.



GENDANG 24 MUSIM




Pengasas kepada Gendang 24 musim ini adalah seorang guru muzik pada Jun 1988. Beliau adalah Encik Chen Wei Chong. Ensembel ini terdiri daripada 24 buah gendang besar yang diimport atau dibeli dari negara China. Ensembel ini dinamakan Gendang 24 Musim kerana setiap gendang besar ini dinamakan berasaskan satu musim pertanian yang ada di negara China. Dalam kalendar Cina, setiap musim besar, iaitu musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim dingin akan dibahagikan kepada 6 musim kecil pula. Nama musim itu ditulis pada gendang mengikut seni kaligrafi Cina. Selain itu, koreografi pergerakan pemuzik juga adalah mengikut aksi aktiviti-aktiviti pertanian yang sebenar iaitu membajak tanah, menyemai, menuai dan aktiviti-aktiviti pertanian yang lain.

Di dalam persembahan yang ditunjukkan, pemain dram akan memakai kostum tradisional lelaki Cina. Penggunaan prop lain seperti topeng, bendera berwarna-warni dan kain panjang berwarna juga digunakan. Persembahan ini akan
dipersembahkan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan serta perayaan besar kaum Cina.

Dari segi penggunaan alat muzik pula, Gendang 24 Musim menggunakan
24 buah gendang shigu, iaitu dram tarian singa. Terdapat juga pasukan yang menggunakan gendang longgu. Kedua-dua buah gendang ini hampir sama dan merupakan gendang besar berbentuk tong. Gendang ini mempunyai satu muka kulit kerbau atau lembu pada bahagian atas yang dipaku pada bahan kayu dengan paku besi. Selain itu juga, di dalam gendang ini terdapat beberapa dawai besi seperti spring yang memberikan warna ton istimewa. Gendang ini diletakkan di atas rak kayu berkaki empat. Muka kulit gendang dipukul dengan menggunakan dua pemukul kayu.



Sekian, terima kasih


Teruskan Membaca...

Thursday, October 7, 2010

MINGGU 11 : JURNAL REFLEKSI



Selamat sejahtera, salam perpaduan dan salam 1 Malaysia....
Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera...

Pada minggu ini, penulisan jurnal refleksi sudah masuk minggu ke-11. Banyak yang telah dipelajari dan peningkatan dalam penulisan jurnal refleksi juga semakin baik. Pada minggu-minggu terakhir kuliah pada semester ini, kita semua semakin sibuk dengan tugasan-tugasan yang perlu dihantar. Walauapapun, penulisan jurnal refleksi harus diutamakan.


Pembentangan pada minggu ini adalah bertajuk Wayang Kulit. Pembentangan Wayang Kulit merupakan salah satu pembentangan yang ditunggu-tunggu kerana ianya menjanjikan sesuatu yang menarik yang pasti dapat dikongsikan bersama. Tekaan saya sangat tepat kerana pada minggu ini, pelajar tidak hanya mendengar pembentangan berkaitan Wayang Kulit sahaja, malah, kita semua juga bertuah kerana berpeluang melihat secara langsung persembahan wayang kulit yang dikendalikan oleh beberapa orang pelajar junior Pendidikan Muzik. Jutaan terima kasih dan syabas buat mereka kerana memberikan persembahan yang sangat menarik. Kami semua juga dapat merasai sedikit-sebanyak pengalaman menonton Wayang Kulit secara langsung di sini.





Wayang Kulit





Persembahan Wayang Kulit Kelantan yang dipersembahkan oleh pelajar junior Pendidikan Muzik boleh dianggap berjaya kerana mereka berani untuk mempersembahkannya di khalayak ramai. Persembahan yang ditunjukkan sangat menarik dan tersendiri. Bahasa yang digunakan juga tetap menggunakan bahasa yang sama iaitu bahasa dialek Kelantan. Persembahan yang ditunjukkan juga berunsur komedi dan rata-rata amat terhibur dan ketawa walaupun ada diantara pelajar tidak memahami maksud dialek yang dipersembahkan. Syabas diucapkan kepada pelajar yang memegang karakter Tok Dalang kerana berjaya membawa banyak watak dengan pelbagai cara dan gaya intonasi yang berbeza. Bukan senang untuk melakukannya, bukan? Syabas juga buat pemuzik-pemuzik yang menjadi 'backup' untuk persembahan Wayang Kulit ini.

Secara keseluruhannya, pembentangan dan persembahan kumpulan ini sangat menarik dan menyeronokkan. Saya dan rakan-rakan amat terhibur dengan hasil yang ditunjukkan. Harapan saya agar warisan Wayang Kulit akan diteruskan dan tetap mendapat tempat di hati golongan-golongan muda yang mempunyai bakat yang mendalam seperti mereka yang membuat persembahan pada hari ini. Diharap minat anda tidak sampai di sini sahaja dan akan diteruskan serta dikembangkan sehingga ke satu tahap yang lebih selesa. Sama-samalah kita memartabatkan seni warisan Wayang Kulit agar ianya terus kekal.




Sekian, terima kasih.

Teruskan Membaca...

Friday, September 24, 2010

MINGGU 9: JURNAL REFLEKSI



Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera...

Salam Aidilfitri buat pensyarah Muzik Tradisional Malaysia, Encik Amran dan kawan-kawan seperjuangan. Setelah hampir dua minggu kita bercuti (Cuti Hari Raya), kini kita kembali memasuki minggu ke-9, sesi Julai 2010. Masa begitu pantas berlalu, bukan? Pada minggu ini, penulisan jurnal refleksi berjalan seperti minggu-minggu lalu walaupun saya tidak dapat menghadiri kuliah pada minggu ini atas sebab kesihatan yang tidak mengizinkan. Saya rasa amat terkilan sekali. Walauapapun, semua telah ditentukan oleh-Nya. Betul tak? Dengan bantuan rakan-rakan dan video yang telah di ambil semasa sesi pembentangan kumpulan yang membentangkan tajuk Mak Yong, saya masih lagi dapat mengikuti kuliah ini walaupun tidak secara langsung. Inilah yang menjadi kelebihan di dalam proses P&P yang telah Encik Amran realisasikan. Tahniah Encik Amran.


Pada minggu ini, kami telah didedahkan dengan satu lagi tajuk pembentangan iaitu Mak Yong. Walaupun tajuk ini telah diajar oleh Encik Amran dalam kuliah sebelum ini, namun pembentangan kali ini saya kira lebih menarik dan istimewa.



MAK YONG

Pembentangan pada minggu ini amat menarik minat saya kerana selain dapat mempelajari sejarah, kostum, dan sebagainya, pelajar juga berpeluang untuk melihat secara langsung persembahan ensembel muzik yang mengiringi persembahan Mak Yong dan Wayang Kulit. Persembahan ini diketuai oleh Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, iaitu Dr. Mohd Hassan dan juga staff dan pemuzik dari fakulti yang sama.

Sesi pembentangan pada minggu ini telah dimulakan dengan sesi pembelajaran tarian 'mengadap rebab'. Seperti yang kita sedia maklum, persembahan 'mengadap rebab' ini adalah satu persembahan pembukaan untuk persembahan Mak Yong. Persembahan ini adalah wajib. Dengan bantuan video hasil kerja lapangan kumpulan pembentang pada minggu ini, para pelajar telah diajar cara menari tarian ini. Saya amat yakin bahawa sesi pembentangan kali ini amat menarik minat semua. Saya kira, tarian ini bukanlah mudah untuk ditarikan dan memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Tetapi, dengan kesungguhan dan minat yang ditunjukkan, pelajar dapat mengikuti sesi ini dengan baik walaupun hanya menggunakan bantuan video yang telah dirakamkan.

Walaupun tidak banyak input yang diberikan berdasarkan 'slide' yang telah saya muat turun dari weblog SMP2252 dan sudah mempelajari tajuk Mak Yong sebelum ini, pembentangan kali ini masih boleh dianggap berjaya kerana mereka telah berusaha untuk menampilkan persembahan 'mengadap rebab' yang telah dilakukan secara langsung. Terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan. Walauapapun, saya amat tertarik sekali berkenaan dengan sejarah Mak Yong yang dibentangkan oleh kumpulan ini, di mana ianya mempunyai pelbagai pendapat.

Pada pandangan saya, kumpulan ini mungkin boleh menyelitkan beberapa video persembahan Mak Yong agar pelajar dapat melihat dan merasai sendiri persembahan tersebut. Bukan itu sahaja, kumpulan ini juga boleh mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkaitan Mak Yong jika mereka melakukan kerja lapangan di negeri yang menjalankan persembahan Mak yong ini (Kelantan). Namun, secara keseluruhannya pembentangan kali ini amat menarik sekali. Tahniah diucapkan kepada kumpulan ini.








Teruskan Membaca...

Saturday, September 4, 2010

MINGGU 8: JURNAL REFLEKSI



Assalamua'laikum dan salam sejahtera...

Bahang Hari Raya, sudah makin terasa. Tetapi, tanggungjawab, tetap mesti dilaksanakan sungguhpun UPSI telah mula bercuti. Untuk entri bagi minggu ini, iaitu Jurnal Refleksi Minggu 8, tajuk yang akan dibincangkan adalah berkaitan Menora. Apa yang saya tahu, Menora adalah sejenis persembahan berbentuk ritual, hiburan dan perubatan. Tetapi di Kelantan, amalan berbentuk hiburan dan perubatan masih lagi dipersembahkan. Perkara baru yang saya dapat adalah selain di Kelantan, Menora juga ada terdapat di Kedah. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Menora, semuanya disediakan seperti di bawah.


MENORA



Menora adalah sebuah persembahan dari kategori dramatari iaitu gabungan drama dan tarian. Menora bermaksud pembaca puisi, pemimpin kumpulan, pelakon dan penari kumpulan tersebut. Persembahan Menora berkisah dari kitab Mahabrata yang mempunyai sebanyak 12 buah kisah asal. Persembahan Menora juga berunsurkan jenaka. Tetapi, ianya juga ada berunsur animisme selain bertujuan untuk perubatan.

Sejarah Menora

Sehingga kini, banyak pendapat berbeza yang menyatakan tentang sejarah Menora. Ada yang mengatakan Menora berasal dari Songkla, Thailand, dan ada pula yang menyatakan ianya berasal dari Narathiwat.

Pendapat pertama, Su Choon mengatakan, sebelum sampai ke Tanah Melayu, Menora berasal dari Songkla, Thailand. Pada masa itu, Menora sangat terkenal di selatan Thailand. Menurut Su Choon, Menora berasal dari Kerajaan Legor iaitu di sebelah selatan Siam dan utara Tanah Melayu. Setelah orang-orang Utara mula menguasai Menora pada tahun 1250, kerajaan Legor mula hilang.

Pendapat kedua, En. Mohamed Tharuwat, seorang aktivis Menora mengatakan, Menora berasal dari Narathiwat dan ianya adalah milik Malaysia sehingga kini. Beliau juga mengatakan bahawa kisah Menora adalah berkaitan 12 buah kisah yang diintripetasikan oleh Putera Thep iaitu anak Puteri Sri Mala. Sehingga kini, Menora masih lagi aktif di Malaysia terutama di Bachok dan Tumpat, Kelantan. Jika dahulu, persembahan Menora disertakan bersama mentera dan banyak dipersembahkan mengikut cara Buddha di Istana. Ini kerana, Menora telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Tetapi kini, Menora hanyalah sebuah persembahan hiburan di Kelantan da adakalanya dipersembahkan untuk tujuan perubatan sahaja.

Aktivis Menora - En. Mohamed Tharuwat

Cerita dan Watak

Cerita dan watak Menora juga adalah berbeza kerana ianya mempunyai ramai pendapat. Tetapi yang pasti, Menora adalah bermula dari Istana, iaitu Raja Saifafat, permaisurinya Sri Mala, dan puterinya. Pada suatu hari, puteri bermimpi sedang menari dan bermain muzik. Kemudian, datang dewa ke dalam mimpinya. Setelah sedar, puteri mendapati dirinya mengandung biji teratai. Raja sangat murka dan telah menghanyutkan puteri dengan rakit ke Pulau Kachang. Setelah melahirkan, puteri menamakan anaknya sebagai Putera Kumar Noi. Setelah meningkat dewasa, puteri mengajar anaknya menari. Mereka juga keluar dari pulau untuk mengadakan persembahan dan mencari datuknya. Kemudian, persembahannya menjadi tersohor terutamanya di istana-istana. Setelah mengetahui bahawa putera tersebut adalah cucunya, raja sangat gembira dan memberi gelaran serta persalinan Diraja kepada cucunya. Akhirnya, mereka tinggal di istana dan hidup bahagia.

Watak-Watak dalam Menora

Watak Lelaki (watak utama):-
i. Perwira
ii. Seri Kandi
iii. Pak Sitong

Watak Perempuan - dimainkan oleh lelaki berambut panjang

Penari - lelaki dan perempuan (Kelantan dan Kedah), perempuan sahaja (Thailand)

Watak Dayang - Inang

Watak Perang - pengasuh dalam istana yang memakai topeng

Pakaian Menora

Pelakon lelaki
- baju berlengan pendek
- berseluar panjang berwarna-warni
- kecopong atau Cha-Da (mahkota tinggi)
- skaf merah
- tali pinggang atau Khem Khat
- berselendangkan kain atau Sang Wan (dipakai pada bahu kanan)
- bersarung kaki
- bersayap
- rantai
- sarung kuku atau Canggai (panjang dan melenting)

Pelakon perempuan
- hampir sama dengan lelaki, tetapi tidak memakai kecopong



Peran
- bertopeng
- berselendang atau phakoma



Ahli muzik
- berpakaian bebas

Pakaian Menora Pada Masa Kini (mengikut peredaran zaman)


Pakaian Menora Negeri Melaka


Pakaian Menora Negeri Kelantan


Perbezaan antara Kecopong Melayu dan Kecopong Siam


Kecopong Melayu

- Mempunyai pom-pom
- Menara yang berbentuk bulat
- Mempunyai subang dan telinga






Kecopong Siam

- Tidak mempunyai pom-pom
- Bertingkat-tingkat
- Menara tajam seperti pucuk rebung






Lain-lain Kecopong



Adat Buka Panggung

Sama seperti adat buka panggung Makyung, iaitu mengadap rebab, Menora juga mempunyai adat-adat yang harus dipatuhi iaitu adat buka panggung. Panggung khas yang berbumbung harus didirikan di atas tanah. Sebelum upacara buka panggung, bahan-bahan seperti ini haruslah disediakan. Bahan-bahan tersebut adalah seperti:-
1. Colok
2. Pulut kuning
3. Darah binatang
4. Beras
5. Sirih
6. Pengeras sebanyak Rm2.25 - bergantung kepada pemain

Pantang Larang Menora

Setiap permainan mempunyai pantang larang tertentu dan perlu dipatuhi oleh setiap penari. Sebagai contohnya, barang-barang yang digunakan seperti topeng, kecopong dan lain-lain perlulah disimpan di tempat yang dikhaskan kerana dikhuatiri 'semangat' akan mengganggu persembahan.

Alatan Muzik Menora

1. 1 Geduk
2. 1 Canang
3. 1 Pi Nai
4. 2 Gedombak
5. 1 Cerek
6. 1 Kesi

- Pinai

- Cerek

Kedudukan Alat Muzik Dalam Menora



Tarian dan Lagu Menora

Menurut En. Tharuwat, Menora datang bersama dramatari. Ianya menggunakan tari gerak Theng Khe (tikam buaya) dan Klong Hong (tangkap geruda) , Kreng Ton serta 12 gerak tari asal iaitu Gerak Tari Burung Kinaree, Gerak Tari Masuk, Tarian Penjuru Besar (Gerak Tari Jalan Angsa), Tarian Penjuru Kecil (Gerak Tari Gajah) dan Gerak Tari Labah-labah.


* Buat pensyarah SMP2252 yang dikasihi, En. Amran, pensyarah-pensyarah Muzik, kawan-kawan dan yang mengenali diri ini, Selamat Hari Raya diucapkan. Moga Syawal kali ini memberi 1000 keberkatan buat kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Teruskan Membaca...

Thursday, August 26, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI


Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera.....

Pada minggu ini, dapat kita lihat dua buah kumpulan yang telah membentangkan tajuk yang saya kira amat menarik untuk dikongsi bersama di dalam subjek SMP2252. Ucapan tahniah dan syabas saya tujukan kepada kedua-dua buah kumpulan yang telah membentangkan tajuk Keroncong dan Kuda Kepang ini, kerana mereka telah melakukan pembentangan dengan amat baik dan dapat berkongsi maklumat serta pengalaman semasa melakukan Kerja Lapangan bagi tugasan ini. Mereka bukan sahaja dapat memberikan info yang menarik, malah juga dapat menarik perhatian rakan-rakan sekelas dengan adanya contoh alat muzik yang ditunjukkan secara langsung, demo memainkan alat, dan juga video-video yang menarik semasa Kerja Lapangan dilakukan. Sekali lagi tahniah dan syabas saya ucapkan.

KERONCONG

Jika disebut 'Keroncong', pasti kita semua terbayangkan alunan alat muzik yang tersangat merdu seperti biola, ukulele, cello, dan sebagainya. Keroncong juga sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu walaupun ianya berasal dari negara lain, iaitu Portugis walaupun ada pendapat yang mengatakan persembahan dan alat muzik yang dimainkan mempunyai persamaan.

Jika dilihat dari sudut sejarah Keroncong itu sendiri, ianya dikatakan bermula di Pulau Jawa pada abad ke-16, sewaktu pengaruh Portugis mula bertapak di Tenggara Asia. Ketika itu jugalah, seni muzik gamelan mula digemari di seluruh Pulau Jawa. Penggunaan alat-alat muzik Barat juga telah mula digunakan untuk memainkan lagu-lagu daerah termasuk gamelan. Sebab itulah muzik Keroncong dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan muzik Gamelan dari segi rentak dan bentuk melodinya. Muzik Gamelan dimainkan dengan cara yang teratur, tetapi muzik Keroncong dapat ditokok tambah mengikut perasaan pemain-pemainnya. Alat melodi dan bentuk suara yang digunakan dalam persembahan keroncong juga adalah lebih luas. Pada awal abad ke-20, muzik Keroncong telah berkembang ke tanah Malaysia dengan kedatangan orang-orang Jawa. Dikalangan kaum Baba dan Nyonya, lagu Keroncong sangat digemari. Di Indonesia juga, ramai keturunan Cina yang meminati lagu Keroncong dan ada di antara mereka yang menjadi pencipta lagu Keroncong yang terkenal.

Alat Muzik Keroncong

Antara alat muzik yang digunakan di dalam persembahan Keroncong ialah biola, seruling, gitar, cello, double-bass, ukulele(cuk), dan tenor banjo(cak).


Biola (Violin)


Seruling (flute)


Cello


Double-bass


Ukulele (Cuk)


Tenor banjo (Cak)
*sumber dari: http://astroboyz.wordpress.com/2010/02/09/cak/

Jenis-jenis Muzik Keroncong

Muzik Keroncong lebih cenderung kepada irama 'chord progression' dan jenis alat muzik yang digunakan. Muzik Keroncong ini mempunyai perbezaan dan persamaan di antara satu sama lain. Antara jenis muzik Keroncong yang dikenali adalah:-

1. Keroncong Asli
2. Keroncong Langgam
3. Keroncong Stanbul

Seni muzik Keroncong tidak perlu diagungkan dan dibanggakan kumpulan Keroncong di luar sana sahaja kerana, di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan juga ada melahirkan satu-satunya kumpulan Keroncong yang sangat berbakat yang menjadi pelapis yang memartabatkan muzik Keroncong. Banyak memenangi pertandingan muzik Keroncong tidak menjadikan mereka sukar didekati. Buktinya, kumpulan yang telah membentangkan tajuk ini telah menjadikan Kerja Lapangan mereka dengan menemuramah dan mendapatkan maklumat mengenai Keroncong melalui kumpulan Keroncong UPSI ini. Apa yang saya lihat, muzik Keroncong ini tidak akan hilang dan dilupakan selagi pelapis Muzik Keroncong ini ada. Saya amat yakin bahawa seni Muzik Keroncong dapat diteruskan dan berkekalan selamanya. Sama-samalah kita memartabatkan Muzik Keroncong ini agar generasi yang akan datang juga turut dapat merasainya.


Persembahan Nyanyian Keroncong

KUDA KEPANG

Kuda kepang adalah sejenis tarian pahlawan yang berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Ia turut di bawa oleh penghijrah-peghijrah ke tanah Melayu. Kini, Kuda Kepang telah menjadi sebuah permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia, terutamanya di Johor. Selain Kuda Kepang, ianya juga dikenali sebagai Jaran Kepang, Kuda Lumping, Ebeg, dan Jathilan. Kuda Kepang juga pernah dimainkan di dalam upacara pemujaan pada masa lalu, iaitu sebelum perkembagan Islam sampai ke sini. Tetapi kini, tarian Kuda Kepang dipersembahkan di Majlis Perkahwinan dan Majlis-majlis Keramaian.

Alat-alat Muzik Kuda Kepang

1. Lima buah angklung
2. Sebuah gendang
3. Gong
4. Kuda (diperbuat daripada buluh atau pandan yang dianyam atau papan lapis dan kulit lembu)
5. Sebatang pecut
6. Tali (30 meter)
7. Jidor
8. Kenong
9. Saron Peking
10. Bonang

Angklung


Gendang


Gong


Kuda



Kenong


Saron Pekin


Bonang

Pemain Kuda Kepang

Permainan kuda kepang memerlukan sekurang-kurang 25 orang seperti berikut:-

1. 9 orang penari
2. 5 orang pemain muzik
3. 2 orang yang bertindak sebagai ' Bomoh Pemulih'
4. 9 - 15 orang penjaga kawasan.
Namun, terdapat seorang pemimpin dalam kalangan penari tersebut dipanggil "Danyang". Pemain-pemain biasanya berpakaian seragam.
Pemain Kuda Kepangyang memakai pakaian seragam yang sama
Pakaian Kuda Kepang
Kuda Kepang juga mempunyai kostumnya seperti mana tarian lain. Pada umumnya, pemain Kuda Kepang akan memakai pakaian tradisional Jawa kuno, lengkap dengan tanjak atau ketopang dan bersamping. Seluar dijahit menggunakan kain kempun(sejenis Batik Jawa). Pemain juga memakai tengkolok yang terbahagi kepada dua iaitu tengkolok Jawa dan Melayu. Ianya dapat dibezakan melalui cara ikatannya.
Pakaian Pemain Kuda Kepang

Cara Permainan Kuda Kepang

Persembahan Kuda Kepang biasanya diadakan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar. Sebelum tarian dimulakan, Tok Bomoh terlebih dahulu akan membakar kemenyan, disusuli dengan bacaan jampi. Iannya bertujuan untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda yang bakal beraksi. Beliau menggunakan telur mentah, bunga, rumput, dan air untuk persembahan.

Persembahan Kuda Kepang turut dikawali oleh seorang pemimpin dalam kalangan penarinya, yang juga dikenali sebagai 'danyang' yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh 'danyang' akan masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu. Ketika muzik mula menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Penari-penari bukan sahaja boleh menari tetapi juga boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat, melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.
Selama dua jam penari-penari menari dan mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka. Ketika mabuk, mereka akan bermimpi menunggang kuda yang sebenar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Sebab itulah, mereka mencuba mengejar muzik itu semasa menari. Keadaan ini dipanggil 'naik syeh'. Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawali, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, dan seterusnya Tok Bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan mereka.
Keadaan penari yang 'naik syeh'
Pantang Larang Kuda Kepang
Di dalam setiap persembahan Kuda Kepang, kumpulan pemain perlu menyerahkan pengeras dan wang sebanyak RM2.25 kepada Tok Bomoh dan tuan rumah untuk persembahan. Pengeras ini terdiri daripada kemenyan, air mentah, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur serta beberapa jenis kuih. Kumpulan pemain mengenakan bayaran yang tidak kurang dari RM200 untuk setiap persembahan.
Di dalam permainan kuda kepang, pemain-pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Bukan itu sahaja, pemain-pemain juga tidak boleh melihat kain merah kerana ini merupakan pantang larangan semulajadi. Selain itu, pemain-pemain juga tidak boleh melihat kaca kerana takut bahawa mereka akan memakan kaca itu.
Pembentang tajuk Kuda Kepang ini telah membuat Kerja Lapangan di Johor. Mereka agak bernasib baik kerana berasal dari Johor juga. Banyak pengetahuan tentang Kuda Kepang dapat diketahui melalui sesi temuramah antara ahli kumpulan pembentang dengan pemain Kuda Kepang. Pada masa kini, di Johor telah mengharamkan permainan Kuda Kepang. Saya sangat terkilan kerana ahli kumpulan tersebut tidak dapat mendapatkan maklumat secara terperinci lagi berkenaan Kuda Kepang. Ini juga menjadi satu sebab kenapa pemain pemain Kuda Kepang yang ditemuramah sukar memberi sepenuh kerjasama kerana bimbang sumber yang dinyatakan akan bercanggah dengan agama Islam.
Walauapapun, saya juga berasa sangat berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan. Walaupun terdapat sedikit kekangan di dalam menyiapkan tugasan ini, kumplan ini masih lagi berjaya melaksanakannya dengan hasil kerjasama semua ahli kumpulan.

Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

  • JURNAL REFLEKSI KESELURUHAN - Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Setelah 14 minggu dalam tempoh kuliah, akhirnya kelas SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia berakhir deng...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir da...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir dan menandakan berakhirnya kuliah pada minggu k...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI MINGGU 14 - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, tanpa kita sedari, telah 14 minggu kita semua bersama menelusuri ilmu berkaitan dengan muzik tradisiona...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi : Minggu 14 - Refleksi pada minggu ini merupakan refleksi minggu yang terakhir bagi kelas SMP 2252. Terdapat banyak perkara baru yang diperoleh selama 14 minggu menye...
    5 years ago
  • MINGGU 14:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua terutama pensyarah kita, En. Amran Aris. Pejam celik pejam celik, rupanya sudah sampai minggu ke-14 dan mi...
    5 years ago
  • Reflesksi Keseluruhan - Sudah 14 minggu bersama dalam mengikuti kuliah muzik tradisional. Pelbagai reaksi dan gelagat melalui pembelaran kursus ini. Pembelajaran dalam kuliah-kuli...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI - Bunyi adalah penting dalam mencipta sesuatu irama di dalam muzik. Dengan menyusun bunyi yang betul maka akan terbinanya muzik itu. Bunyi yang terhasil ada...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : MOHAMAD KHAZIL BIN WASLI NO.MATRIK : D20072031485 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252-MALAYSIAN...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : ZAHARAH BINTI MUSA NO.MATRIK : D20072031542 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252 - MUZIK TRA...
    6 years ago

Blog Pelajar Kumpulan B

  • JURNAL MINGGU KE-14 - Tarian singa, pada minggu ke 14 vkita telah diajar mengenai tarian singa dalam budaya masyarakat cina, dalam masyarakat cina tarian cina selalunya dimainka...
    5 years ago
  • refleksi jurnal : minggu ke 14 - Salam Lembaran minggu ke 14 Di kuliah ini kami ditunjuk dan dipersembahkan berkaitan suatu kesenian yang berkisarkan tentang tarian singa.Tarian ini adalah...
    5 years ago
  • MINGGU 14: REFLEKSI KESELURUHAN - Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada pensyarah En Amran dan rakan-rakan sekalian. Sedar tidak sedar kita sudah sampai ke akhir kuliah Mu...
    5 years ago
  • Minggu 13 : Jurnal Refleksi - Salam Sejahtera kepada semua warga SMP 2252. Jurnal refleksi ini merupakan jurnal yang terakhir untuk kursus ini. Dalam minggu yang terakhir ini, tajuk yan...
    5 years ago
  • MINGGU 14 REFLEKSI JURNAL - Assalamualaikum w.t.b… Sampai sudah kita di penghujung kuliah. Walaupun terpancar rasa gembira pada wajah pelajar SMP2252 tetapi perasaan sedih tidak dapa...
    5 years ago
  • MINGGU 14 : JURNAL REFLEKSI - Sedar atau tidak kita sudah sampai ke minggu ke 14, ini bermakna ini adalah minggu terakhir dan selepas ini, kami semua akan menduduki perperiksaan akhir. ...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI: MINGGU KE TIGA BELAS - Salam Sejahtera.. Subjek muzik tradisional Malaysia merupakan satu subjek yang memberikan banyak pengetahuan tentang bidang muzik tradisional. Disamping pe...
    5 years ago
  • MINGGU 13 ;JURNAL REFLEKSI - Assalammualaikum dan salam perpisahan buat rakan-rakan blog... Bertemu kembali kita di dalam refleksi jurnal minggu ketiga belas dan ternyata minggu ini m...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI KE-14 - Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.. Sedar atau tidak kita telah sampai ke penghujung minggu iaitu minggu ke-14 di semester ini. Pada minggu ke-14, kulia...
    5 years ago
  • Minggu 14: Jurnal Refleksi - Asalamualaikum w.b.t, salam 1 Malaysia dan Salam Perpisahan buat rakan-rakan SMP2252 (Muzik Tradisional Malaysia)serta pensyarah En Amran Aris Pertamanya ...
    5 years ago
  • Minggu 6: Jurnal Refleksi - Salam Warisan & Salam 1 Malaysia... (^_^) Di Ruangan Ini Bertemu Lagi, Untuk Melengkapkan Jurnal Refleksi, Makyung & Kompang Kuliah Kali Ini, Persembaha...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : ZAHARAH BINTI MUSA NO.MATRIK : D20072031542 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252 - MUZIK TRA...
    6 years ago

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SURIANI Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template