Friday, August 20, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI



Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera.

Minggu kedua Ramadhan bersamaan dengan minggu keenam kuliah SMP2252 agak memenatkan. Namun, ianya masih lagi menyeronokkan dengan topik-topik yang sangat menarik setiap minggu. Pada minggu ini, kami semua didedahkan berkenaan dengan Makyung dan Kompang. Apa yang saya tahu, Makyung adalah sebuah persembahan yang amat popular di negeri Cik Siti Wan Kembang pada satu ketika dahulu yang turut menggabungkan tarian, nyanyian, lakonan, lawak dan juga muzik. Ianya adalah satu-satunya hiburan bagi rakyat Kelantan pada ketika itu. Kompang pula menjadi salah satu alat muzik yang popular di Kelantan selain rebana. Pada semester pertama saya di UPSI, saya telah mengikuti subjek kompang. Tetapi, pembelajaran teori subjek tersebut hanya sedikit jika dibandingkan dengan pembelajaran secara teknikal. Dari sudut pengalaman pula, saya biasa melihat kompang dimainkan semasa mengiringi majlis-majlis rasmi selain dimainkan dalam persembahan wayang kulit. Seterusnya, saya akan mengupas satu persatu tentang topik pada minggu ini. Di harap, kita semua dapat berkongsi bersama.





MAKYUNG


Makyung adalah sebuah persembahan kategori bentuk seni lakon sama seperti Menora, Mekmulung, dan Jikey. Makyung juga adalah sebuah bentuk seni lakon yang sangat kuno yang terkandung lagenda dan juga mitosnya yang tersendiri. Secara keseluruhannya, Makyung mempunyai asas yang sama dengan Menora, Mekmulung dan sebagainya, tetapi ianya dibentuk melalui identiti dan juga keperluan dramatik yang berbeza. Makyung melibatkan manusia sebagai pelakon dan setiap persembahannya amat mengutamakan dialog, tarian, muzik vokal, dan instrumental. Persembahan Mekyung adalah mengisahkan penceritaan. Makyung juga telah diikhtiraf oleh UNESCO. Satu kejayaan yang patut dibanggakan.


SEJARAH MAKYUNG


Makyung berasal dari Patani iaitu sebuah Kerajaan Melayu Lama-Hikayat Patani. Makyung tersebar luas di Sememnanjung Malaysia, Medan, dan Kepulauan Riau di Indonesia. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dikalangan kampung, usia sebenar Makyung tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, fakta yang ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi. Menurut Hikayat Patani, Makyung dibawa ke negeri Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia berkembang ke negeri Kedah dan negeri-negeri lain.

Makyung berasal daripada perkataan Mak Hiang yang membawa maksud semangat padi. Ia merupakan persembahan dramatari tradisional Melayu Kelantan yang menggabungkan elemen seni tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik. Menurut catatan awal Peter Florist, seorang pedagang Eropah pernah menyaksikan kesenian ini di istana Raja Perempuan Patani pada tahun 1613.

Di Kelantan, kesenian ini ditemui di istana semasa pemerintahan Sultan Mohamad IV iaitu pada tahun 1900 hingga 1920, dan kemudiannya Sultan Ismail. Teater tradisional ini seterusnya dihidupkan kembali oleh Tengku Zainal Ghaffar II yang dikenali sebagai Tengku Temenggong. Baginda bertanggungjawab ke atas sistem latihan, muzik Makyung serta kostum Makyung turut diperhalusi secara sistematik. Kemudian, Makyung telah bertukar dari Tradisi Istana ke Tradisi Rakyat (Folk Theater). Pada tahun 1969, beberapa orang tokoh budaya dan pembesar di negeri Kelantan berusaha untuk mengekalkan warisan ini dan usaha itu telah terbukti apabila Makyung lagi bernafas hingga ke hari ini.



PERSEMBAHAN MAKYUNG

1. Tujuan Ritual

Bagi tujuan ritual atau upacara pemujaan roh-roh. Ianya dipersembahkan melalui Main Puteri yang bertujuan untuk mengubati penyakit. Persembahan ini adalah sebagai 'sembah guru' iaitu meminta' sesuatu'. Pada permulaan persembahan Makyung, seorang bomoh bertindak sebagai 'Syaman' atau orang perantaraan akan hadir. Persembahan ini tidak mempunyai pentas. Aras panggungnya sama dengan aras tanah.

2. Tujuan Persembahan

Bagi tujuan persembahan pula, ia juga tidak memerlukan pentas. Lantai panggungnya didirikan beberapa kaki dari tanah dan dipersembahkan secara terbuka. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi pelakon dan pemuzik dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Persembahan ini juga dikenali sebagai 'Theater In The Round' kerana penonton boleh duduk di sekeliling panggung untuk menyaksikannya.


Kedudukan pentas, penonton, pelakon, dan pemuzik Makyung


Cerita Makyung

Cerita asal Makyung adalah bertajuk Dewa Muda yang diambil dari sebuah cerita rakyat. Terdapat kira-kira 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire. Cerita dipersembahkan melalui dialog, nyanyian, tarian, dan diiringi muzik vokal dan instrumental.


Watak-watak Makyung

1. Pakyung - Sebagai Raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang cerita Makyung

2. Pakyung Muda - Sebagai watak utama atau hero dalam cerita Makyung.

3. Makyung - Sebagai watak Permaisuri dan dalam setengah cerita mengambil peranan yang penting sebagai watak utama.

4. Puteri Makyung - Sebagai heroin dalam cerita Makyung

5. Peran - Terdapat beberapa orang peran atau pelawak dalam cerita Makyung. Peran tua biasanya memegang watak yang lebih penting daripada peran-peran lain dan bertindak sebagai orang suruhan Raja atau pengasuh. Lain-lain peran adalah watak kelakar.

6. Dayang - Terdiri daripada gadis-gadis manja yang juga bertindak sebagai penari atau pengiring Makyung atau Puteri Makyung.

7. Tok Wak - Sebagai ahli nujum

Selain daripada watak-watak di atas, watak-watak jahat tidak ketinggalan, seperti raja jin dan sebagainya yang merupakan pihak lawan kepada watak-watak baik di atas. Pada abad ke-20, peranan utama di dalam Makyung telah dipegang oleh wanita.

Watak Pakyung dalam Teater Makyung

http://www.dikirbarat.net/forum/gendang/dewa-dewa



Lagu dan Mode Lagu Makyung


Mengadap Rebab
Mengadap Rebab merupakan sebuah lagu terpanjang yang mengiringi tarian pembukaan di dalam persembahan Makyung. Ianya menjadi simbol penghormatan kepada rebab dan semangat Makyung. Nyanyian mengadap rebab dengan penyanyi utamanya menjadi suara latar dan diikuti oleh para penari yang lain. Segala gerak jari, gelengan kepala dan jelingan mata serta segala kelembutan para penarinya akan terserlah dalam kedudukan yang tersusun. Dalam mengadap rebab, nyanyiannya akan diiringi oleh rebab selaku alat paling utama, serta gendang ibu dan anak dan gong.
Mode lagu
: Semua pelakon memberi hormat kepada alat muzik rebab.


Tarian Mengadap Rebab

Kijang Mas
/ Timang Welu
Lagu ini digunakan dalam beberapa keadaan, selalunya dimainkan sebagai lagu instrumental semasa selingan sebelum permulaan persembahan Makyung. Lagu ini dinyanyikan oleh Pakyung dan Makyung untuk menceritakan sesuatu pada korus.
Mode lagu : Pergerakkan berjalan

Sindong
Sama seperti lagu Kijang Mas, ia juga dinyanyikan oleh Pakyung apabila mahu memberikan arahan kepada pengasuh atau jong dongdang. Selain itu ia juga dinyanyikan oleh pangasuh tua.

Sedayong
Banyak variasi lagu sedayong, Sedayong Pakyung dinyanyikan oleh Pakyung, begitu juga dengan Sedayung Makyung oleh Makyung, Sedayung Peran dan Sedayung Tonggek dinyanyikan oleh pengasuh. Lagu ini berfungsi sebagai lagu pendedahan untuk memaklumkan sesuatu kepada peran atau penonton.Mode lagu : Kuasa luar biasa bersifat sakti (mengubah atau menjelma rupa)

Lagu Ela
Mode lagu : Menyampaikan cerita dan berita

Mengulit Raja Nak Tidur
Mode lagu : Membangkitkan perasaan halus

Jembar atau Mengambul
Mode lagu : Membangkitkan perasaan sedih

Sang atau Penyudah
Mode lagu : Menyudahi sesuatu persembahan

Lagu Barat
Empat variasi lagu barat ialah Barat Anjur, Kisah Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat. Barat anjur selalunya dinyanyikan oleh watak-watak utama apabila mereka masuk kali pertama untuk memperkenalkan diri atau mengumumkan sesuatu kejadiaan seperti memanggil untuk berkumpul bagi penutup cerita, masuk semula ke pentas dan semasa dalam perjalanan. Barat cepat sering dinyanyikan dalam makyung bagi menandakan pertukaran tempat atau penghabisan tiap-tiap adegan. Kisah barat dan gunung barat merupakan lagu pendedahan (expository pieces).

Mengulek
Permaisuri atau Makyung menyanyikan lagu ini apabila bermain-main dengan inang inang atau juga digunakan sebagai lagu untuk timang-timang anak atau juga semasa mengulek seseorang waktu tidur.

Mengambo
Ia dinyanyikan oleh Pakyung, Makyung atau watak-watak utama dipertengahan cerita dalam adegan sedih apabila hendak meluahkan perasaan pilu.

http://www.budiey.com/teater-tradisional-makyung/



ALAT MUZIK MAKYUNG


Alat muzik utama Makyung adalah gendang (ibu dan anak), sepasang tetawak, dan sebuah rebab 3 tali (alat utama). Ada beberapa penambahan alat telah dibuat seperti di ASWARA, iaitu serunai, geduk, dan canai.

Rebab


Rebab memainkan melodi utama di dalam setiap persembahan. Ia berada di bawah kategori kordofon-kelas kecil lute. Badan rebab diperbuat daripada kayu dan berbentuk segi tiga. Muka badan rebab menggunakan kulit lembu. Bonggol kecil dipanggil 'susu' atau 'tetek', diperbuat daripada lilin lebah. Ia berfungsi bagi meredam bunyi ('mello' sound)

Rebab adalah sebatang kayu yang tebal tanpa 'fret' (seperti yang terdapat pada gitar) yang berfungsi sebagai leher. Bahagian paling bawah dipanggil 'kaki' dan bahagian paling atas dipanggil 'kecopong' (bermotif pucuk rebung). Tiga utas tali logam, ditarik dari kekuda yang dipanggil 'pacat' terus ke 'pemulas' bagi tujuan penalaan. Laras talaan jeda perfek ke-4 dan ke-5. Open string ditala mengikut jarak vokal penyanyi. Tali digesek menggunakan tali nilon atau tangsi (dahulu menggunakan sabut kelapa).




FORM ATAU BENTUK


Bentuk dan struktur lagu-lagu Makyung ditentukan dalam sistem gongan (pusingan-jangkamasa tertentu, ditentukan dengan pic-pic gong). Ianya dikawal oleh tetawak. Sistem gongan yang digunakan adalah 8 bit, 16 bit, dan 32 bit.


IRAMA


Makyung manggunakan 4 timbre iaitu 'pak', 'duh', 'cak', dan 'ting' serta menggunakan gaya meningkah (interlicking) di dalam memainkan alat muzik. boleh dikatakan, hampir kesemua lagu Makyung menggunakan tempo yang perlahan.




MELODI


Dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan alat muzik rebab. Melodinya berhias dan kompleks.




TEKSTUR


Muzik Makyung bertekstur 'Heterofoni'. Heterofoni bermaksud mempunyai hanya satu melodi di dalam sesebuah lagu. Namun, masih terdapat kepelbagaian variasi samada dalam cara nyanyian, atau dimainkan pada masa yang sama.










KOMPANG

Berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat yang berunsurkan Timur Tengah. Ia juga dikenali dengan 'Dufuf', 'Daff', 'Duff', 'Tar', atau 'Bendir'. Berlainan pula dengan Indonesia, di sana, kompang dipanggil terbang atau rebana. Kompang dibawa oleh Pedagang Arab ke sini pada kurun ke 13 Masihi. Kompang boleh diklasifikasikan di bawah membranofon dalam kelas drum kecil. Kompang dimainkan dalam berbagai fungsi di dalam masyarakat Melayu dan sosial kini. Dalam masyarakat Melayu, kompang dimainkan untuk meraikan perkahwinan, majlis keraian Islam, Maulidurrasul dan berkhattan. Manakala dalm masyarakat sosial pula, kompang dimainkan untuk upacara menyambut ketibaan pemimpin, dan dalam acara-acara rasmi.


Persembahan Kompang Semasa Mengiringi Pengantin


SEJARAH KOMPANG


Ada beberapa pendapat yang menyuakan pendapat mengenai sejarah kompang. Pendapat pertama mengatakan bahawa bentuk kompang sama seperti hadrah yang terdapat di negara Arab. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam Bahasa Arab. Contohnya Selawat Memuji Nabi (Rasullullah S.A.W).

Pada awalnya, permainan kompang dibawa oleh pedagang Arab yang datang berdagang je Nusantara. Ia digunakan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Permainan ini dipercayai menjadi ikutan masyarakat tempatan dan seterusnya berkembang sehingga kini. Permainan kompang berkembang ke Tanah Melayu akibat dari imigrasi masyarakat Jawa (Abdul Latif Ali, 1980:12)

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kompang


Adab Permainan Kompang


Semasa bermain kompang, adab amatlah dititik beratkan terutamanya adab di dalam berpakaian. Selain itu, semasa bermain kompang, kita juga tidak boleh melentangkang kompang (meletakkan kompang dalam keadaan yang terbalik atau meletakkan arah kulit kompang ke lantai). Bukan itu sahaja, tindakan melambung kompang juga tidak boleh dilakukan.





ALAT MUZIK KOMPANG


Bahagian kompang yang penting:-





PEMBUATAN ALAT MUZIK KOMPANG


Bahan-bahan asas : Memerlukan kayu, kulit kambing betina, dan paku.



Cara-cara:

1. Dari sumber kayu yang besar, potong kayu menjadi bentuk segi empat.

2. Mengikut saiz dan bentuk kompang yang dikehendaki, potong kayu menjadi bentuk bulat menggunakan mesin khas.

3. Setelah menjadi bulat, perlu larik menggunakan mesin melarik kompang dan besi anggit. Melarik adalah proses membentuk balu atau kerangka kompang.

4. Balo atau kerangka kompang yang telah siap dilarik.

5. Melilit balo atau kerangka kompang.

6. Proses memasang kulit kambing pada balo kompang. Kulit kambing perlulah direndam terlebih dahulu dan diletakkan di atas besi khas.

7. Setelah proses di atas siap, perlu jemur sehingga betul-betul kering.

8. Kompang yang telah siap.

1. 2.
3. 4.
5. 6.

7. 8.



Fungsi Kompang

Persembahan kompang mempunyai pelbagai fungsi dan peranan. Pada asasnya, ia bertujuan untuk memeriahkan sesuatu majlis. Permainan kompang juga mengalami sedikit perubahan dari semasa ke semasa.

1. Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau secara ensembel seperti nasyid dan marhaban.

2. Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, khatam Al-Quran, dan acara rasmi yang melibatkan pembesar.

3. Menjadi elemen permainan ensembel seperti orkestra, lagu berbentuk etnik kreatif, caklempong pacik dan juga gamelan.

4. Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding serta membuat gimik sorakan.

5. Pertandingan seperti paluan kompang dan kompang formasi.


Persembahan Kompang Formasi


Jenis dan Saiz Kompang




Kompang boleh diperolehi dalam saiz yang berlainan mengikut peringkat umur pemain. Antaranya:-




Teknik Bermain
Kompang

Kompang boleh dimainkan dengan pelbagai cara samada secara duduk, berdiri, atau berjalan. Kompang dimainkan dalam kumpulan dengan cara memukul atau mengetuk kulit dengan tangan atau jari. Sebelah tangan digunakan untuk memegang kompang dan sebelah tangan lagi digunakan unutk memukul kompang. Bagi menghasilkan bunyi 'bung', pemain perlu merapatkan jari dan memukul pada sisi kompang. Manakala bagi mendapatkan bunyi 'pak', jari pemain perlulah rapat semasa memkul kompang dan pukulan mestilah mengena pada bahagian tengah kompang.





Kedudukan Pemain Kompang


Jenis Pukulan/Paluan


Ada 3 paluan dalam permainan kompang yang digabungkan untuk menghasilkan paduan bunyi yang berharmoni. Tiga kumpulan paluan tersebut dipanggil melalu, meningkah dan menyilang. Fungsi paluan ini adalah seperti berikut:-

1. Kumpulan Melalu memainkan rentak asas.

2. Kumpulan Menyilang memainkan rentak silihan (up beat) kepada pukulan Melalu.

3. Kumpulan Meningkah menjadi penghias rentak yang dimainkan paluan antara kumpulan Melalu dan Menyilang.


Setiap persembahan kompang terdiri dari tiga bahagian pukulan iaitu:-

1. Pukulan ‘Mula’ untuk memainkan sesebuah lagu

2. Pukulan lagu

3. Pukulan ‘Mati’ untuk mengakhiri sesebuah lagu.


Penjagaan Kompang

Kompang dalam simpanan seharusnya dikendurkan permukaannya. Sebelum memulakan permainan kompang, permukaannya perlu ditegangkan dengan sedak. Kompang yang basah seharusnya dijemur sehingga kering supaya tahan lebih lama.

Semasa dalam simpanan juga, kompang perlu diletakkan dengan berkeadaan muka kompang bertindan dengan permukaan lain dan disusun di rak atau almari yang sesuai. Ini untuk mengelakkan kerosakan muka kompang apabila ditindani oleh baluh kompang.


Penalaan Kompang

Tujuan penalaan kompang dilakukan adalah untuk meninggikan ton bunyi kompang dan menegangkan permukaannya dengan menggunakan sedak. Sedak boleh dibuat daripada rotan atau wayar plastik. Sedak ditolak dengan kayu sedak di sekeliling bahagian dalam antara baluh dan belulang kompang.


RENTAK

1. Inang Asas
2. Masri Asas
3. Asli Asas


1. Inang Asas


2. Masri Asas


3. Asli Asas







Sebelum menamatkan kuliah pada hari ini, kami dibekalkan kompang untuk cuba mempraktikkan cara pukulan seperti melalu, meningkah dan menyilang serta mencuba pukulan berentak inang, masri dan juga asli. Sangat seronok kerana dapat bermain kompang setelah sekian lama tidak bermain (semenjak dari semester 1) dan dapat memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan yang baru mencuba bermain kompang. Bayangkan, dalam waktu yang singkat sahaja, semua pelajar dapat mempelajarinya. Sebelum kuliah berakhir, kami memainkan lagu 'Madu Tiga' dengan iringan paluan kompang. Sungguh seronok dan terhibur sekali. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan dan diharap rakan-rakan akan terus mencintai seni kompang.

Sebelum saya mengakhiri entri pada kali ini, ingin saya berkongsi dengan kawan-kawan semua berkenaan satu keratan akhbar
berkaitan Makyung.



Persoalannya, 'Bolehkah Makyung Pupus?' Apa pendapat anda?

Jumpa lagi pada entri yang akan datang. Sekian, terima kasih.
Teruskan Membaca...

Friday, August 13, 2010

MINGGU 5: JURNAL REFLEKSI



Assalamua'laikum dan salam sejahtera.Bertemu lagi kita dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Entri pada kali (minggu ke-5) ini adalah refleksi yang berkisar tentang gamelan dan caklempong. Sebelum saya menghuraikan berkenaan gamelan dan cakempong, ingin saya berkongsi dengan para pembaca tentang perjalanan kuliah pada minggu ini. Kuliah pada minggu ini bermula agak lancar tetapi, kami pelajar Muzik dari semester lima masuk agak lewat kerana menghadiri sesi fotografi yang diadakan di hadapan SITC. Jadi, kami agak ketinggalan sedikit berbanding yang lain tentang pengenalan gamelan. itu, ianya tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan kuliah ini. Untuk pengetahuan semua, kami sudah mengikuti subjek gamelan dan caklempong pada semester dua dan tiga. Ini sedikit sebanyak menjadi satu 'advantage' kepada kami, semester lima. Walaupun sudah mengikuti subjek ini, kami masih lagi kurang diberi pendedahan berkaitan muzik ini kerana subjek tersebut lebih kepada praktikal sahaja. Di harap, En. Amran dan kawan-kawan yang lain dapat berkongsi pengetahuan berkaitan tajuk yang dipelajari pada minggu ini.

Pada minggu ini, kami diberi penerangan tentang dua alat muzik tradisional Malaysia iaitu Gamelan dan Caklempong. Semasa kami masuk ke dalam kelas, tayangan video Gamelan Bali dipaparkan. Penerangan dimulakan dengan Gamelan yang merangkumi tiga aspek penting iaitu:-



Gamelan adalah berasal dari bahasa Jawa iaitu 'gamel' yang membawa maksud tabuh atau pukul. Ianya bertepatan dengan kategori alat-alat muzik gamelan iaitu di bawah golongan atau perkusi. Ianya perlu dibunyikan denan cara ditabuh ataupun memukulnya. Alat muzik gamelan juga diperbuat daripada perunggu dan kayu serta dari besi dan juga buluh. Perunggu adalah campuran daripada tembaga merah dan timah putih. Dari segi peralatannya pula, ianya mempunyai pelarasan yang telah ditetapkan atau fixed tuning.

Seperti yang kita sedia maklum, permainan muzik gamelan ini dimainkan atau dilakukan secara ensembel atau berkumpulan dan ianya boleh dipersembahkan secara tersendiri. Alat gamelan yang pertama dicipta ialah gong (wujud semenjak Tamadun Melayu 1). Kemudian, alat-alat lain juga wujud mengikut peredaran zaman. Di awal tahun tamadun Melayu, alat gong menjadi sangat penting sebagai tanda untuk memulakan sesuatu upacara dan untuk menandakan sesuatu peristiwa berlaku. Berlainan pula pada zaman Pemerintahan Kerajaan Demak di Jawa. Di mana, pada masa itu gamelan telah digunakan untuk tujuan berdakwah oleh ahli sunan (kiai). Tetapi kini, gamelan telah dikenali di seluruh pelusuk dunia sebagai sebuah muzik etnik yang unik yang memiliki keistimewaan yang tersendiri. Sebenarnya, gamelan ini ada di beberapa buah negara lain juga. Ianya dipercayai berasal dari Indonesia dan ada juga alat gamelan yang serupa di negara lain seperti Filipina, Thailand, Cambodia, dan sebahagian Vietnam, selain di negara sendiri iaitu di Kulintangan (Sabah), Sarawak, di negara Brunei, Mindanao, dan Celebes. Mungkin terdapat perbezaan pada namanya mengikut sesuatu tempat di mana ianya berada tetapi bentuk alatan dan susunannya adalah sama. Terdapat beberapa jenis gamelan di seluh dunia termasuklah Gamelan Melayu, Gamelan Jawa, Gamelan Bali, Gamelan Sunda, Gamelan Banyuwangi, Gambang Keromong, dan Gamelan Amerika.


JENIS-JENIS GAMELAN

Gamelan Melayu - Sejarah

Gamelan Melayu adalah dari kategori Muzik Bentuk Tarian Utama. Sedikit sejarah mengenai Gamelan Melayu, ianya mula diperkenalkan di negeri Pahang pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Ia mula diminati oleh Tengku Ampuan iaitu Wan Fatimah sebagai isteri pertama sultan dan diikuti isteri kedua baginda iaitu Che Zubedah. Seterusnya, gamelan ini telah dibawa ke Terengganu setelah puteri mereka, Tengku Ampuan Mariam melangsungkan perkahwinan dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada 1913. Apabila baginda sultan mangkat pada 1914, isteri kedua baginda pun meninggakan Pahang untuk tinggal bersama puterinya di Terengganu. Oleh kerana puterinya sangat meminati gamelan, gamelan di bawah jagaannya di Pahang telah di bawa ke Istana Terengganu dan telah melatih pemuda-pemudi di sana untuk bermain dan menari gamelan. Berbagai-bagai lagu dan tarian telah dicipta antaranya Lambang Sari, Geliung, Ketam Renjong, Togok, Gagak Seteru, Lancang Kuning, dan sebagainya. Bukan itu sahaja, Tengku Ampuan Mariam juga ada menulis sebuah manuskrip mengenai Joget Gamelan manakala Sultan Sulaiman pula bertanggungjawab menukar nama 'Joget Pahang' kepada 'Joget Gamelan Terengganu'. Walaubagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. Gamelan Terengganu mula mengalami kejatuhan pada zaman penaklukan Jepun (1941). Setelah suaminya, Sultan Sulaiman mangkat (1942), Tengku Ampuan Mariam berpindah ke Istana Kolam bersama penari dan set gamelan. Pada 1973, kerajaan Pahang dan Terengganu pula melakukan tawar-menawar menawar mengenai hak milik set gamelan tersebut. Setelah itu, set gamelan tersebut telah dianugerahkan kepada Muzium Pahang di Pekan dan telah dipamerkan. Kini, set Gamelan Melayu tersebut telah disimpan di Muzium Tokoh, Kuantan, Pahang.








ALAT-ALAT MUZIK GAMELAN MELAYU




Sebahagian besar alat-alat dalam Gamelan Melayu adalah alat-alat idiofon itu yang diketuk untuk mengeluarkan bunyi. Alat-alat ini diperbuat daripada gangsa yang berbentuk seperti mangkuk dan berpencu serta mellophones(alat muzik tiupan dalam keluarga brass. Ada juga alat membranofon seperti gendang dua muka. Ensembel Gamelan Melayu terdiri daripada 7 alat utama:-

Bonang

Juga dikenali sebagai Keromong. Ia adalah gong yang bersaiz kecil, diperbuat daripada 'perunggu'. Alat ini memainkan melodi utamadan ianya mengandungi 2 oktaf yang berlaras 'anhemitomik pentatonik'. Jika dilihat secara fizikalnya, alat ini mempunyai bentuk seperti kendi dan sifat bunyinya "dengung".


Gambang

Ianya terdiri daripada bilah-bilah kayu yang disusun mengikut pic yang diatur diatas kotak kayu yang berfungsi sebagi Kotak Gema (resonator). Jika dilihat, ianya seakan sama dengan bentuk marimba ataupun xylophone. Ada juga yang diperbuat daripada buluh dan kayu nibong yang dikatakan dapat menghasilkan suara atau bunyi yang lebih mantap. Ia mengandungi beberapa oktaf yang dijadikan sebagai alat melodi. Ia diketuk menggunakan 2 bilah alat pemukul khas bagi menghasilkan bunyi. Gambang mempunyai sehingga 3 oktaf.


Saron Peking


Dikenali juga sebagai saron penerus. Sebagai alat melodi yang menggandakan melodi pokok.Dalam permainan ini teknik perdam dan cincang sering digunakan dan mampu menghasilkan suara yang lantang dan nyaring. Alat pemukul diperbuat daripada tanduk kerbau. Saron pekin berperanan sebagai alat yang membawa melodi pokok dan cincang. Alat pemukul yang digunakan diperbuat dari jenis kayu yang lembut.


Kenong

Sama seperti bonang dan yang lain, ianya diperbuat daripada perunggu. Kenong terdiri daripada satu set yang mengandungi tiga gong yang dilaraskan dalam pic 1,5,6 (dalam sistem nada). Pencunya diketuk dengan menggunakan pemalu kayu yang dibalut dengan kain yang tebal dihujungnya. Kenong berfungsi sebagai penanda masa. Kenong juga sejenis alat yang diapungkan bagi mengeluarkan bunyi gema.


Gendang


Peranan gendang sebagai peyokong irama adalah merupakan sejenis gendang dua muka. Ia dipukul dengan kedua belah tangan dan mampu menghasilkan suara mnemonik asas seperti 'dum' pada permukaan besar dan mnemonik 'tak' pada permukaan kecil.





Gong


Terdiri daripada pelbagai saiz yang menghasilkan pic yang berbeza dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Sesetengah pemain gamelan hanya menggunakan 2 jenis gong sahaja iaitu gong suwukan dan gong ageng (juga dipanggil gong agung). Saiz gong ini agak kecil jika dibandingkan dengan gong ageng gamelan Jawa. Fungsi gong ageng mempunyai register (not/pic) yang paling rendah, menentukan pusingan bentuk iaitu musical foam. Manakala fungsi gong suwukan pula adalah penanda masa yang mempunyai register rendah.


Sistem Talaan Dalam Gamelan Melayu



Mengandungi pic 6, 1, 2, 3, 5, 6, dan 1.


Video-video Gamelan Melayu

Video 1 : Togok
Video 2 : Timang Burung dan Ketam Renjong



Video 1 : Togok




Video 2 : Timang Burung dan Ketam Renjong



Gamelan Jawa - Sejarah

Gamelan Jawa adalah dari kategori Muzik Bentuk Tarian Utama. Definisi terkini bagi Gamelan ialah sebuah persembahan orkestra yang didominasikan alat muzik gangsa iaitu alat muzik kordofon, erofon dan membranofon berserta penyanyi perempuan dan lelaki. Muzik gamelan ini berasal dari Pulau Jawa Tengah dan dibawa oleh orang-orang Jawa ketika penjajahan orang-orang Eropah. Kesenian muzik Gamelan Jawa merangkumi tarian, wayang kulit purwa dan kuda kepang. Di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia pula, terdapat pelbagai bentuk tarian dan wayang Jawa yang masih dipersembahkan dengan iringan Gamelan Jawa. Bukan itu sahaja, muzik Gamelan Jawa juga mengiringi tarian seperti Tarian Kifrah, Serimpi Lilin, Kupu-kupu dan Cakil. Alat-alat gamelan pula didapati digunakan bagi tujuan mengiringi Riog, Barungan dan Kuda Kepang.




Tarian Serimpi




Tarian Cakil




Manuskrip Tarian Gamelan

Muzik Gamelan Jawa juga biasanya dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan sebagainya. Gamelan jenis ini boleh didapati di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Muzik Gamelan Jawa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan rakyat iaitu sebagai permainan rakyat dan bukannya terhad untuk persembahan istana sahaja.



Pemuzik Gamelan Jawa Dalam Sebuah Majlis Perkahwinan

Bilangan set alat Gamelan Jawa adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan set alat Gamelan Melayu. Permainan dan persembahannya juga lebih kompleks. Set alat Gamelan Jawa memgandungi 9 alat iaitu gendang (ketipung, jiblon, bem), bonang/keromong, demung, saron barung, saron penerus/pekin, gambang, kenong, kempol dan gong.


ALAT MUZIK GAMELAN JAWA

Gamelan Jawa menggunakan empat cara penalaan, iaitu dengan cara slendro, pelog, degung (biasanya digunakan di daerah Sunda atau Jawa Barat), dan madenda (juga dikenali sebagai diatonik), sama seperti skala minor asli yang banyak dipakai di Eropah.
  • Slendro memiliki 5 nada per oktaf, iaitu : 1 2 3 5 6 [C- D E+ G ] - perbezaan jeda yang kecil sahaja
  • Pelog memiliki nada per oktaf, iaitu : 1 2 3 4 5 6 7 [C+ D E- F# G# A B] - perbezaan jeda yang besar


Skel Pelog

Perbezaan Gamelan Melayu/Terengganu dan Jawa





Persamaan Gamelan Melayu/Terengganu dan Jawa

1. Gong
- Mengeluarkan pic paling rendah dan dimainkan pada akhir frasa lagu untuk menandakan satu pusingan lengkap lagu

2. Kenong
- Dimainkan pada detik keempat setiap gatra

3. Gendang / Khendang
- Dimainkan untuk mrngawal tempo lagu dan dipukul menggunakan dua tapak tangan

4. Gambang
- Memainkan melodi lagu dengan cara mengetuk notasi satu oktaf. Contohnya 1 dan i, 2 dan 2' secara berganda, contohnya 2/2', 3/3'. Gambang biasanya meminkan not kuaver.


Notasi Gamelan

Gamelan pada awalnya dimainkan tanpa menggunakan notasi kerana ianya dikira tidak penting dan lagu lama tidak pula dicatat. Di awal perkembangan muzik Gamelan, ramai yang mempelajari muzik Gamelan secara tidak formal sahaja iaitu melalui pendengaran yang dimulakan dengan lagu yang mudah dan beransur kepada yang lebih kompleks. Seterusnya, pada abad ke-19, sistem nombor diperkenalkan bagi memudahkan pemuzik memainkan repetoire atau lagu yang telah banyak berkembang. Sistem menggunakan nombor ini dikenali sebagai Sistem Kepatihan dan ianya kekal digunakan sehingga sekarang. Untuk pengetahuan semua, dalam subjek Gamelan yang telah kami ambil pada semester 2 yang lalu juga menggunakan Sistem Kepatihan ini.



Notasi dan skel Caklempong



Notasi lagu Timang Burung


TEKSTUR GAMELAN


Muzik Gamelan bertekstur polifoni yang bermaksud gubahan yang mempunyai banyak lapisan suara. Bentuk muziknya yang berulang-ulang menampakkan ciri-ciri muzik ini. Setiap frasa yang diulang muziknya dan bergerak dalam bentuk bulatan. Permainan gamelan memerlukan kemahiran muzikal secara teknikal, perasaan peka kepada tekstur keseluruhan serta kerjasama dan hubungan yang baik di antara setiap alat atau pemain.


Setelah penerangan berkaitan Gamelan berlalu, kuliah diteruskan lagi dengan penerangan yang seterusnya iaitu Caklempong. Di bawah tajuk ini merangkuli 3 aspek penting iaitu: -



CAKLEMPONG


Caklempong juga dikenali sebagai telempong, tak lempong, dan talempong. Ianya boleh didapati di Daerah Lenggeng, Kuala Pilah, dan Jelebu, Negeri Sembilan. Persembahan Caklempong adalah mengiringi nyanyia, tarian lilin, pencak silat, majlis perkahwinan, dan majlis keramaian selain dalam drama tarian randai. Caklempong mula berkembang di kalangan masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan.


SEJARAH CAKLEMPONG

Secara ringkas berkenaan sejarah Caklempong. Muzik tradisional caklempong dikatakan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang menetap di Negeri Sembilan seawal kurun ke-14. Masyarakat Minangkabau memanggil caklempong sebagai talempong. Di dalam tradisi terdahulu, selain daripada tujuan untuk berhibur,caklempong turut memainkan peranan penting di dalam kehidupan seharian masyarakat Minang seperti menyatupadukan penduduk setempat. Caklempong dimainkan semasa upacara pertabalan Sultan.

Kini, muzik caklempong telah diterima baik oleh masyarakat majmuk di Malaysia sebagai
muzik warisan bangsa milik semua dan bukannya tertumpu kepada Negeri Sembilan sahaja. Muzik caklempong juga telah diajar di sekolah-sekolah dan Institusi Pengajian bagi tujuan mengekalkan warisan ini agar ianya tidak hilang begitu sahaja. Caklempong tergolong di dalam kumpulan Idiofon (Idiophone)iaitu kategori alat muzik yang dibuat daripada bahan logam, kayu, buluh dan tempurung. Ianya dimainkan dengan cara memukul, menghentak, menggoncang dan mengetuk. Antara alat muzik yang termasuk dalam klasifikasi ini ialah gong, saron, bonang, kenong, angklung, gambang, kertuk dan lain-lain. Selain caklempong yang terdapat di Negeri Sembilan dan talempong di Sumatera Barat, alat muzik berbentuk seperti gong kecil juga terdapat di tempat lain dan dikenali sebagai kyi-waing (Myanmar),Trompong (Bali) dan Kulintang (Filipina).


ALAT-ALAT MUZIK CAKLEMPONG

Bonang


Bonang caklempong yang berbentuk seperti gong atau tetawak kecil diperbuat daripada perunggu atau tembaga berdiameter 16cm, tinggi 8-10 cm. Saiznya sama dengan sebuah piring. Ia juga mempunyai cembol untuk diketuk yang setinggi 2.5cm di tengah-tengahnya. Bonang disusun atas dua baris tali yang telah diikat dalam tepak caklempong. Pada asalnya, caklempong dimainkan mengikut skala pentatonik yang terdiri daripada notasi C, D, E, F dan G, tetapi kini telah dimasukkan kesemua notasi. Penalaan (tuning) boleh dilakukan dengan cara mengetuk permukaan bahagian dalam cembol bagi mendapatkan pic yang tinggi. Penalaan pic yang rendah ialah dengan cara mengetuk permukaan pada bahagian luar cembol.




Penalaan yang dibuat ke atas Bonang

Gereteh

Gereteh terdiri daripada 15 Bonang yang disusun dalam nada C Major satu oktaf, termasuk 7 not pilihan di dalam dua baris selari (Baris 1 mempunyai 8 Bonang dan baris 2 mempunyai 7 Bonang). Gereteh merupakan melodi utama. Terdapat dua set Gereteh di dalam satu set lengkap caklempong.




Tingkah

Tingkah terdiri daripada lapan biji bonang yang bermula dari not E, F, G, A, Bb, B, C dan D. Permainan Tingkah banyak tertumpu kepada pengawalan rentak dan menghasilkan irama mengikut pukulan gendang. Cara mengetuk tingkah adalah dengan cara melalu dan mudah dimainkan.




Saua/Sauwa

Saua juga mempunyai lapan biji bonang dan berbentuk seperti tingkah. Yang membezakan antara keduanya ialah cara ia dimainkan. Saua diketuk mengikut corak irama Ostinato dan bergerak mengikut kord melodi. Corak irama Ostinato yang sesuai hendaklah terlebih dahulu diajarkan kepada pemain Saua. Notasi Caklempong Tingkah dan Saua tidak disediakan, sebaliknya hanya kord blok sahaja disediakan. Notasi untuk Saua bermula dari not E rendah.

Gendang ibu dan anak

Di dalam persembahan caklempong, ada 2 gendang yang digunakan iaitu gendang ibu dan anak. Gendang ibu dan anak mempunyai saiz yang berbeza. Bagi gendang ibu, saiznya adalah 2cm lebih besar daripada gendang anak. Baluh yang berbentuk cembung dan dua muka kulit gendang diperbuat daripada kulit kambing atau lembu yang diikat pada baluh dengan tali. Gendang dipukul pada mukanya dengan tangan oleh dua orang pemain bagi menghasilkan rentak (resultant rhythmic pattern) melalui teknik permainan tingkah. Peranan Gendang Ibu ialah mengawal tempo dengan cara pukulan melalu.




Bangsi


Alat muzik bangsi (berbentuk seperti rekorder bersaiz 17cm) atau serunai, atau pupuik iaitu sejenis alat tiupan jenis pelidah daripada golongan daun kelapa. Bangsi diperbuat daripada buluh dan mempunyai 7 lubang jari untuk menghasilkan 7 skala ton / pic yang berpadanan dengan nada gereteh caklempong. Bangsi boleh ditiup dengan kuat tanpa menaikkan tonnya.




Serunai

Terdiri daripada pupuik gadang yang diperbuat daripada daun kelapa dan papuik tanduk yang diperbuat daripada tanduk kerbau. Ianya memainkan melodi yang sama dengan caklempong gereteh terutamanya dalam lagu yang dihasilkan.



Susunan alat Caklempong

http://worldcaklempong.blogspot.com/


Video-video Caklempong

Video 1 : Renjis-renjis Dipilis
Video 2 : Sogo




Video 1 : Renjis-renjis Dipilis




Video 2 : Sogo



Sebelum kelas berakhir, kami diminta untuk ke bilik tradisional bertujuan untuk memperkenalkan alat-alat muzk Gamelan kepada pelajar subjek Pengayaan Diri khususnya. Kami juga diminta untuk men'demo'kan lagu Timang Burung dan membimbing pelajar-pelajar lain untuk memainkan alat-alat ini. Dari pemerhatian saya, saya dapati keseluruhan dari pelajar subjek Pengayaan diri begitu tertarik dan berminat dengan alat muzik Gamelan ini. Ianya jelas kelihatan dari kesungguhan mereka untuk mempelajari dan bermain alat ini dalam masa yang singkat. Di harap, minat yang ada itu tidak hanya berakhir di sini dan akan terus berkembang kelak. Syabas untuk semua kerana berjaya memainkan lagu Timang Burung.

Sekian, terima kasih.




* Al-Fatihah buat nenda tercinta, Puan Hajjah Zainab bt. Awang yang telah pulang ke Rahmatullah tanggal 15 Ogos 2010.
Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SURIANI Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template