Friday, August 20, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI



Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera.

Minggu kedua Ramadhan bersamaan dengan minggu keenam kuliah SMP2252 agak memenatkan. Namun, ianya masih lagi menyeronokkan dengan topik-topik yang sangat menarik setiap minggu. Pada minggu ini, kami semua didedahkan berkenaan dengan Makyung dan Kompang. Apa yang saya tahu, Makyung adalah sebuah persembahan yang amat popular di negeri Cik Siti Wan Kembang pada satu ketika dahulu yang turut menggabungkan tarian, nyanyian, lakonan, lawak dan juga muzik. Ianya adalah satu-satunya hiburan bagi rakyat Kelantan pada ketika itu. Kompang pula menjadi salah satu alat muzik yang popular di Kelantan selain rebana. Pada semester pertama saya di UPSI, saya telah mengikuti subjek kompang. Tetapi, pembelajaran teori subjek tersebut hanya sedikit jika dibandingkan dengan pembelajaran secara teknikal. Dari sudut pengalaman pula, saya biasa melihat kompang dimainkan semasa mengiringi majlis-majlis rasmi selain dimainkan dalam persembahan wayang kulit. Seterusnya, saya akan mengupas satu persatu tentang topik pada minggu ini. Di harap, kita semua dapat berkongsi bersama.





MAKYUNG


Makyung adalah sebuah persembahan kategori bentuk seni lakon sama seperti Menora, Mekmulung, dan Jikey. Makyung juga adalah sebuah bentuk seni lakon yang sangat kuno yang terkandung lagenda dan juga mitosnya yang tersendiri. Secara keseluruhannya, Makyung mempunyai asas yang sama dengan Menora, Mekmulung dan sebagainya, tetapi ianya dibentuk melalui identiti dan juga keperluan dramatik yang berbeza. Makyung melibatkan manusia sebagai pelakon dan setiap persembahannya amat mengutamakan dialog, tarian, muzik vokal, dan instrumental. Persembahan Mekyung adalah mengisahkan penceritaan. Makyung juga telah diikhtiraf oleh UNESCO. Satu kejayaan yang patut dibanggakan.


SEJARAH MAKYUNG


Makyung berasal dari Patani iaitu sebuah Kerajaan Melayu Lama-Hikayat Patani. Makyung tersebar luas di Sememnanjung Malaysia, Medan, dan Kepulauan Riau di Indonesia. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dikalangan kampung, usia sebenar Makyung tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, fakta yang ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi. Menurut Hikayat Patani, Makyung dibawa ke negeri Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia berkembang ke negeri Kedah dan negeri-negeri lain.

Makyung berasal daripada perkataan Mak Hiang yang membawa maksud semangat padi. Ia merupakan persembahan dramatari tradisional Melayu Kelantan yang menggabungkan elemen seni tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik. Menurut catatan awal Peter Florist, seorang pedagang Eropah pernah menyaksikan kesenian ini di istana Raja Perempuan Patani pada tahun 1613.

Di Kelantan, kesenian ini ditemui di istana semasa pemerintahan Sultan Mohamad IV iaitu pada tahun 1900 hingga 1920, dan kemudiannya Sultan Ismail. Teater tradisional ini seterusnya dihidupkan kembali oleh Tengku Zainal Ghaffar II yang dikenali sebagai Tengku Temenggong. Baginda bertanggungjawab ke atas sistem latihan, muzik Makyung serta kostum Makyung turut diperhalusi secara sistematik. Kemudian, Makyung telah bertukar dari Tradisi Istana ke Tradisi Rakyat (Folk Theater). Pada tahun 1969, beberapa orang tokoh budaya dan pembesar di negeri Kelantan berusaha untuk mengekalkan warisan ini dan usaha itu telah terbukti apabila Makyung lagi bernafas hingga ke hari ini.



PERSEMBAHAN MAKYUNG

1. Tujuan Ritual

Bagi tujuan ritual atau upacara pemujaan roh-roh. Ianya dipersembahkan melalui Main Puteri yang bertujuan untuk mengubati penyakit. Persembahan ini adalah sebagai 'sembah guru' iaitu meminta' sesuatu'. Pada permulaan persembahan Makyung, seorang bomoh bertindak sebagai 'Syaman' atau orang perantaraan akan hadir. Persembahan ini tidak mempunyai pentas. Aras panggungnya sama dengan aras tanah.

2. Tujuan Persembahan

Bagi tujuan persembahan pula, ia juga tidak memerlukan pentas. Lantai panggungnya didirikan beberapa kaki dari tanah dan dipersembahkan secara terbuka. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi pelakon dan pemuzik dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Persembahan ini juga dikenali sebagai 'Theater In The Round' kerana penonton boleh duduk di sekeliling panggung untuk menyaksikannya.


Kedudukan pentas, penonton, pelakon, dan pemuzik Makyung


Cerita Makyung

Cerita asal Makyung adalah bertajuk Dewa Muda yang diambil dari sebuah cerita rakyat. Terdapat kira-kira 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire. Cerita dipersembahkan melalui dialog, nyanyian, tarian, dan diiringi muzik vokal dan instrumental.


Watak-watak Makyung

1. Pakyung - Sebagai Raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang cerita Makyung

2. Pakyung Muda - Sebagai watak utama atau hero dalam cerita Makyung.

3. Makyung - Sebagai watak Permaisuri dan dalam setengah cerita mengambil peranan yang penting sebagai watak utama.

4. Puteri Makyung - Sebagai heroin dalam cerita Makyung

5. Peran - Terdapat beberapa orang peran atau pelawak dalam cerita Makyung. Peran tua biasanya memegang watak yang lebih penting daripada peran-peran lain dan bertindak sebagai orang suruhan Raja atau pengasuh. Lain-lain peran adalah watak kelakar.

6. Dayang - Terdiri daripada gadis-gadis manja yang juga bertindak sebagai penari atau pengiring Makyung atau Puteri Makyung.

7. Tok Wak - Sebagai ahli nujum

Selain daripada watak-watak di atas, watak-watak jahat tidak ketinggalan, seperti raja jin dan sebagainya yang merupakan pihak lawan kepada watak-watak baik di atas. Pada abad ke-20, peranan utama di dalam Makyung telah dipegang oleh wanita.

Watak Pakyung dalam Teater Makyung

http://www.dikirbarat.net/forum/gendang/dewa-dewa



Lagu dan Mode Lagu Makyung


Mengadap Rebab
Mengadap Rebab merupakan sebuah lagu terpanjang yang mengiringi tarian pembukaan di dalam persembahan Makyung. Ianya menjadi simbol penghormatan kepada rebab dan semangat Makyung. Nyanyian mengadap rebab dengan penyanyi utamanya menjadi suara latar dan diikuti oleh para penari yang lain. Segala gerak jari, gelengan kepala dan jelingan mata serta segala kelembutan para penarinya akan terserlah dalam kedudukan yang tersusun. Dalam mengadap rebab, nyanyiannya akan diiringi oleh rebab selaku alat paling utama, serta gendang ibu dan anak dan gong.
Mode lagu
: Semua pelakon memberi hormat kepada alat muzik rebab.


Tarian Mengadap Rebab

Kijang Mas
/ Timang Welu
Lagu ini digunakan dalam beberapa keadaan, selalunya dimainkan sebagai lagu instrumental semasa selingan sebelum permulaan persembahan Makyung. Lagu ini dinyanyikan oleh Pakyung dan Makyung untuk menceritakan sesuatu pada korus.
Mode lagu : Pergerakkan berjalan

Sindong
Sama seperti lagu Kijang Mas, ia juga dinyanyikan oleh Pakyung apabila mahu memberikan arahan kepada pengasuh atau jong dongdang. Selain itu ia juga dinyanyikan oleh pangasuh tua.

Sedayong
Banyak variasi lagu sedayong, Sedayong Pakyung dinyanyikan oleh Pakyung, begitu juga dengan Sedayung Makyung oleh Makyung, Sedayung Peran dan Sedayung Tonggek dinyanyikan oleh pengasuh. Lagu ini berfungsi sebagai lagu pendedahan untuk memaklumkan sesuatu kepada peran atau penonton.Mode lagu : Kuasa luar biasa bersifat sakti (mengubah atau menjelma rupa)

Lagu Ela
Mode lagu : Menyampaikan cerita dan berita

Mengulit Raja Nak Tidur
Mode lagu : Membangkitkan perasaan halus

Jembar atau Mengambul
Mode lagu : Membangkitkan perasaan sedih

Sang atau Penyudah
Mode lagu : Menyudahi sesuatu persembahan

Lagu Barat
Empat variasi lagu barat ialah Barat Anjur, Kisah Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat. Barat anjur selalunya dinyanyikan oleh watak-watak utama apabila mereka masuk kali pertama untuk memperkenalkan diri atau mengumumkan sesuatu kejadiaan seperti memanggil untuk berkumpul bagi penutup cerita, masuk semula ke pentas dan semasa dalam perjalanan. Barat cepat sering dinyanyikan dalam makyung bagi menandakan pertukaran tempat atau penghabisan tiap-tiap adegan. Kisah barat dan gunung barat merupakan lagu pendedahan (expository pieces).

Mengulek
Permaisuri atau Makyung menyanyikan lagu ini apabila bermain-main dengan inang inang atau juga digunakan sebagai lagu untuk timang-timang anak atau juga semasa mengulek seseorang waktu tidur.

Mengambo
Ia dinyanyikan oleh Pakyung, Makyung atau watak-watak utama dipertengahan cerita dalam adegan sedih apabila hendak meluahkan perasaan pilu.

http://www.budiey.com/teater-tradisional-makyung/



ALAT MUZIK MAKYUNG


Alat muzik utama Makyung adalah gendang (ibu dan anak), sepasang tetawak, dan sebuah rebab 3 tali (alat utama). Ada beberapa penambahan alat telah dibuat seperti di ASWARA, iaitu serunai, geduk, dan canai.

Rebab


Rebab memainkan melodi utama di dalam setiap persembahan. Ia berada di bawah kategori kordofon-kelas kecil lute. Badan rebab diperbuat daripada kayu dan berbentuk segi tiga. Muka badan rebab menggunakan kulit lembu. Bonggol kecil dipanggil 'susu' atau 'tetek', diperbuat daripada lilin lebah. Ia berfungsi bagi meredam bunyi ('mello' sound)

Rebab adalah sebatang kayu yang tebal tanpa 'fret' (seperti yang terdapat pada gitar) yang berfungsi sebagai leher. Bahagian paling bawah dipanggil 'kaki' dan bahagian paling atas dipanggil 'kecopong' (bermotif pucuk rebung). Tiga utas tali logam, ditarik dari kekuda yang dipanggil 'pacat' terus ke 'pemulas' bagi tujuan penalaan. Laras talaan jeda perfek ke-4 dan ke-5. Open string ditala mengikut jarak vokal penyanyi. Tali digesek menggunakan tali nilon atau tangsi (dahulu menggunakan sabut kelapa).




FORM ATAU BENTUK


Bentuk dan struktur lagu-lagu Makyung ditentukan dalam sistem gongan (pusingan-jangkamasa tertentu, ditentukan dengan pic-pic gong). Ianya dikawal oleh tetawak. Sistem gongan yang digunakan adalah 8 bit, 16 bit, dan 32 bit.


IRAMA


Makyung manggunakan 4 timbre iaitu 'pak', 'duh', 'cak', dan 'ting' serta menggunakan gaya meningkah (interlicking) di dalam memainkan alat muzik. boleh dikatakan, hampir kesemua lagu Makyung menggunakan tempo yang perlahan.




MELODI


Dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan alat muzik rebab. Melodinya berhias dan kompleks.




TEKSTUR


Muzik Makyung bertekstur 'Heterofoni'. Heterofoni bermaksud mempunyai hanya satu melodi di dalam sesebuah lagu. Namun, masih terdapat kepelbagaian variasi samada dalam cara nyanyian, atau dimainkan pada masa yang sama.










KOMPANG

Berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat yang berunsurkan Timur Tengah. Ia juga dikenali dengan 'Dufuf', 'Daff', 'Duff', 'Tar', atau 'Bendir'. Berlainan pula dengan Indonesia, di sana, kompang dipanggil terbang atau rebana. Kompang dibawa oleh Pedagang Arab ke sini pada kurun ke 13 Masihi. Kompang boleh diklasifikasikan di bawah membranofon dalam kelas drum kecil. Kompang dimainkan dalam berbagai fungsi di dalam masyarakat Melayu dan sosial kini. Dalam masyarakat Melayu, kompang dimainkan untuk meraikan perkahwinan, majlis keraian Islam, Maulidurrasul dan berkhattan. Manakala dalm masyarakat sosial pula, kompang dimainkan untuk upacara menyambut ketibaan pemimpin, dan dalam acara-acara rasmi.


Persembahan Kompang Semasa Mengiringi Pengantin


SEJARAH KOMPANG


Ada beberapa pendapat yang menyuakan pendapat mengenai sejarah kompang. Pendapat pertama mengatakan bahawa bentuk kompang sama seperti hadrah yang terdapat di negara Arab. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam Bahasa Arab. Contohnya Selawat Memuji Nabi (Rasullullah S.A.W).

Pada awalnya, permainan kompang dibawa oleh pedagang Arab yang datang berdagang je Nusantara. Ia digunakan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Permainan ini dipercayai menjadi ikutan masyarakat tempatan dan seterusnya berkembang sehingga kini. Permainan kompang berkembang ke Tanah Melayu akibat dari imigrasi masyarakat Jawa (Abdul Latif Ali, 1980:12)

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kompang


Adab Permainan Kompang


Semasa bermain kompang, adab amatlah dititik beratkan terutamanya adab di dalam berpakaian. Selain itu, semasa bermain kompang, kita juga tidak boleh melentangkang kompang (meletakkan kompang dalam keadaan yang terbalik atau meletakkan arah kulit kompang ke lantai). Bukan itu sahaja, tindakan melambung kompang juga tidak boleh dilakukan.





ALAT MUZIK KOMPANG


Bahagian kompang yang penting:-





PEMBUATAN ALAT MUZIK KOMPANG


Bahan-bahan asas : Memerlukan kayu, kulit kambing betina, dan paku.



Cara-cara:

1. Dari sumber kayu yang besar, potong kayu menjadi bentuk segi empat.

2. Mengikut saiz dan bentuk kompang yang dikehendaki, potong kayu menjadi bentuk bulat menggunakan mesin khas.

3. Setelah menjadi bulat, perlu larik menggunakan mesin melarik kompang dan besi anggit. Melarik adalah proses membentuk balu atau kerangka kompang.

4. Balo atau kerangka kompang yang telah siap dilarik.

5. Melilit balo atau kerangka kompang.

6. Proses memasang kulit kambing pada balo kompang. Kulit kambing perlulah direndam terlebih dahulu dan diletakkan di atas besi khas.

7. Setelah proses di atas siap, perlu jemur sehingga betul-betul kering.

8. Kompang yang telah siap.

1. 2.
3. 4.
5. 6.

7. 8.



Fungsi Kompang

Persembahan kompang mempunyai pelbagai fungsi dan peranan. Pada asasnya, ia bertujuan untuk memeriahkan sesuatu majlis. Permainan kompang juga mengalami sedikit perubahan dari semasa ke semasa.

1. Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau secara ensembel seperti nasyid dan marhaban.

2. Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, khatam Al-Quran, dan acara rasmi yang melibatkan pembesar.

3. Menjadi elemen permainan ensembel seperti orkestra, lagu berbentuk etnik kreatif, caklempong pacik dan juga gamelan.

4. Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding serta membuat gimik sorakan.

5. Pertandingan seperti paluan kompang dan kompang formasi.


Persembahan Kompang Formasi


Jenis dan Saiz Kompang




Kompang boleh diperolehi dalam saiz yang berlainan mengikut peringkat umur pemain. Antaranya:-




Teknik Bermain
Kompang

Kompang boleh dimainkan dengan pelbagai cara samada secara duduk, berdiri, atau berjalan. Kompang dimainkan dalam kumpulan dengan cara memukul atau mengetuk kulit dengan tangan atau jari. Sebelah tangan digunakan untuk memegang kompang dan sebelah tangan lagi digunakan unutk memukul kompang. Bagi menghasilkan bunyi 'bung', pemain perlu merapatkan jari dan memukul pada sisi kompang. Manakala bagi mendapatkan bunyi 'pak', jari pemain perlulah rapat semasa memkul kompang dan pukulan mestilah mengena pada bahagian tengah kompang.





Kedudukan Pemain Kompang


Jenis Pukulan/Paluan


Ada 3 paluan dalam permainan kompang yang digabungkan untuk menghasilkan paduan bunyi yang berharmoni. Tiga kumpulan paluan tersebut dipanggil melalu, meningkah dan menyilang. Fungsi paluan ini adalah seperti berikut:-

1. Kumpulan Melalu memainkan rentak asas.

2. Kumpulan Menyilang memainkan rentak silihan (up beat) kepada pukulan Melalu.

3. Kumpulan Meningkah menjadi penghias rentak yang dimainkan paluan antara kumpulan Melalu dan Menyilang.


Setiap persembahan kompang terdiri dari tiga bahagian pukulan iaitu:-

1. Pukulan ‘Mula’ untuk memainkan sesebuah lagu

2. Pukulan lagu

3. Pukulan ‘Mati’ untuk mengakhiri sesebuah lagu.


Penjagaan Kompang

Kompang dalam simpanan seharusnya dikendurkan permukaannya. Sebelum memulakan permainan kompang, permukaannya perlu ditegangkan dengan sedak. Kompang yang basah seharusnya dijemur sehingga kering supaya tahan lebih lama.

Semasa dalam simpanan juga, kompang perlu diletakkan dengan berkeadaan muka kompang bertindan dengan permukaan lain dan disusun di rak atau almari yang sesuai. Ini untuk mengelakkan kerosakan muka kompang apabila ditindani oleh baluh kompang.


Penalaan Kompang

Tujuan penalaan kompang dilakukan adalah untuk meninggikan ton bunyi kompang dan menegangkan permukaannya dengan menggunakan sedak. Sedak boleh dibuat daripada rotan atau wayar plastik. Sedak ditolak dengan kayu sedak di sekeliling bahagian dalam antara baluh dan belulang kompang.


RENTAK

1. Inang Asas
2. Masri Asas
3. Asli Asas


1. Inang Asas


2. Masri Asas


3. Asli Asas







Sebelum menamatkan kuliah pada hari ini, kami dibekalkan kompang untuk cuba mempraktikkan cara pukulan seperti melalu, meningkah dan menyilang serta mencuba pukulan berentak inang, masri dan juga asli. Sangat seronok kerana dapat bermain kompang setelah sekian lama tidak bermain (semenjak dari semester 1) dan dapat memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan yang baru mencuba bermain kompang. Bayangkan, dalam waktu yang singkat sahaja, semua pelajar dapat mempelajarinya. Sebelum kuliah berakhir, kami memainkan lagu 'Madu Tiga' dengan iringan paluan kompang. Sungguh seronok dan terhibur sekali. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan dan diharap rakan-rakan akan terus mencintai seni kompang.

Sebelum saya mengakhiri entri pada kali ini, ingin saya berkongsi dengan kawan-kawan semua berkenaan satu keratan akhbar
berkaitan Makyung.



Persoalannya, 'Bolehkah Makyung Pupus?' Apa pendapat anda?

Jumpa lagi pada entri yang akan datang. Sekian, terima kasih.
Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SURIANI Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template