Thursday, August 26, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI


Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera.....

Pada minggu ini, dapat kita lihat dua buah kumpulan yang telah membentangkan tajuk yang saya kira amat menarik untuk dikongsi bersama di dalam subjek SMP2252. Ucapan tahniah dan syabas saya tujukan kepada kedua-dua buah kumpulan yang telah membentangkan tajuk Keroncong dan Kuda Kepang ini, kerana mereka telah melakukan pembentangan dengan amat baik dan dapat berkongsi maklumat serta pengalaman semasa melakukan Kerja Lapangan bagi tugasan ini. Mereka bukan sahaja dapat memberikan info yang menarik, malah juga dapat menarik perhatian rakan-rakan sekelas dengan adanya contoh alat muzik yang ditunjukkan secara langsung, demo memainkan alat, dan juga video-video yang menarik semasa Kerja Lapangan dilakukan. Sekali lagi tahniah dan syabas saya ucapkan.

KERONCONG

Jika disebut 'Keroncong', pasti kita semua terbayangkan alunan alat muzik yang tersangat merdu seperti biola, ukulele, cello, dan sebagainya. Keroncong juga sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu walaupun ianya berasal dari negara lain, iaitu Portugis walaupun ada pendapat yang mengatakan persembahan dan alat muzik yang dimainkan mempunyai persamaan.

Jika dilihat dari sudut sejarah Keroncong itu sendiri, ianya dikatakan bermula di Pulau Jawa pada abad ke-16, sewaktu pengaruh Portugis mula bertapak di Tenggara Asia. Ketika itu jugalah, seni muzik gamelan mula digemari di seluruh Pulau Jawa. Penggunaan alat-alat muzik Barat juga telah mula digunakan untuk memainkan lagu-lagu daerah termasuk gamelan. Sebab itulah muzik Keroncong dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan muzik Gamelan dari segi rentak dan bentuk melodinya. Muzik Gamelan dimainkan dengan cara yang teratur, tetapi muzik Keroncong dapat ditokok tambah mengikut perasaan pemain-pemainnya. Alat melodi dan bentuk suara yang digunakan dalam persembahan keroncong juga adalah lebih luas. Pada awal abad ke-20, muzik Keroncong telah berkembang ke tanah Malaysia dengan kedatangan orang-orang Jawa. Dikalangan kaum Baba dan Nyonya, lagu Keroncong sangat digemari. Di Indonesia juga, ramai keturunan Cina yang meminati lagu Keroncong dan ada di antara mereka yang menjadi pencipta lagu Keroncong yang terkenal.

Alat Muzik Keroncong

Antara alat muzik yang digunakan di dalam persembahan Keroncong ialah biola, seruling, gitar, cello, double-bass, ukulele(cuk), dan tenor banjo(cak).


Biola (Violin)


Seruling (flute)


Cello


Double-bass


Ukulele (Cuk)


Tenor banjo (Cak)
*sumber dari: http://astroboyz.wordpress.com/2010/02/09/cak/

Jenis-jenis Muzik Keroncong

Muzik Keroncong lebih cenderung kepada irama 'chord progression' dan jenis alat muzik yang digunakan. Muzik Keroncong ini mempunyai perbezaan dan persamaan di antara satu sama lain. Antara jenis muzik Keroncong yang dikenali adalah:-

1. Keroncong Asli
2. Keroncong Langgam
3. Keroncong Stanbul

Seni muzik Keroncong tidak perlu diagungkan dan dibanggakan kumpulan Keroncong di luar sana sahaja kerana, di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan juga ada melahirkan satu-satunya kumpulan Keroncong yang sangat berbakat yang menjadi pelapis yang memartabatkan muzik Keroncong. Banyak memenangi pertandingan muzik Keroncong tidak menjadikan mereka sukar didekati. Buktinya, kumpulan yang telah membentangkan tajuk ini telah menjadikan Kerja Lapangan mereka dengan menemuramah dan mendapatkan maklumat mengenai Keroncong melalui kumpulan Keroncong UPSI ini. Apa yang saya lihat, muzik Keroncong ini tidak akan hilang dan dilupakan selagi pelapis Muzik Keroncong ini ada. Saya amat yakin bahawa seni Muzik Keroncong dapat diteruskan dan berkekalan selamanya. Sama-samalah kita memartabatkan Muzik Keroncong ini agar generasi yang akan datang juga turut dapat merasainya.


Persembahan Nyanyian Keroncong

KUDA KEPANG

Kuda kepang adalah sejenis tarian pahlawan yang berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Ia turut di bawa oleh penghijrah-peghijrah ke tanah Melayu. Kini, Kuda Kepang telah menjadi sebuah permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia, terutamanya di Johor. Selain Kuda Kepang, ianya juga dikenali sebagai Jaran Kepang, Kuda Lumping, Ebeg, dan Jathilan. Kuda Kepang juga pernah dimainkan di dalam upacara pemujaan pada masa lalu, iaitu sebelum perkembagan Islam sampai ke sini. Tetapi kini, tarian Kuda Kepang dipersembahkan di Majlis Perkahwinan dan Majlis-majlis Keramaian.

Alat-alat Muzik Kuda Kepang

1. Lima buah angklung
2. Sebuah gendang
3. Gong
4. Kuda (diperbuat daripada buluh atau pandan yang dianyam atau papan lapis dan kulit lembu)
5. Sebatang pecut
6. Tali (30 meter)
7. Jidor
8. Kenong
9. Saron Peking
10. Bonang

Angklung


Gendang


Gong


Kuda



Kenong


Saron Pekin


Bonang

Pemain Kuda Kepang

Permainan kuda kepang memerlukan sekurang-kurang 25 orang seperti berikut:-

1. 9 orang penari
2. 5 orang pemain muzik
3. 2 orang yang bertindak sebagai ' Bomoh Pemulih'
4. 9 - 15 orang penjaga kawasan.
Namun, terdapat seorang pemimpin dalam kalangan penari tersebut dipanggil "Danyang". Pemain-pemain biasanya berpakaian seragam.
Pemain Kuda Kepangyang memakai pakaian seragam yang sama
Pakaian Kuda Kepang
Kuda Kepang juga mempunyai kostumnya seperti mana tarian lain. Pada umumnya, pemain Kuda Kepang akan memakai pakaian tradisional Jawa kuno, lengkap dengan tanjak atau ketopang dan bersamping. Seluar dijahit menggunakan kain kempun(sejenis Batik Jawa). Pemain juga memakai tengkolok yang terbahagi kepada dua iaitu tengkolok Jawa dan Melayu. Ianya dapat dibezakan melalui cara ikatannya.
Pakaian Pemain Kuda Kepang

Cara Permainan Kuda Kepang

Persembahan Kuda Kepang biasanya diadakan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar. Sebelum tarian dimulakan, Tok Bomoh terlebih dahulu akan membakar kemenyan, disusuli dengan bacaan jampi. Iannya bertujuan untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda yang bakal beraksi. Beliau menggunakan telur mentah, bunga, rumput, dan air untuk persembahan.

Persembahan Kuda Kepang turut dikawali oleh seorang pemimpin dalam kalangan penarinya, yang juga dikenali sebagai 'danyang' yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh 'danyang' akan masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu. Ketika muzik mula menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Penari-penari bukan sahaja boleh menari tetapi juga boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat, melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.
Selama dua jam penari-penari menari dan mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka. Ketika mabuk, mereka akan bermimpi menunggang kuda yang sebenar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Sebab itulah, mereka mencuba mengejar muzik itu semasa menari. Keadaan ini dipanggil 'naik syeh'. Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawali, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, dan seterusnya Tok Bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan mereka.
Keadaan penari yang 'naik syeh'
Pantang Larang Kuda Kepang
Di dalam setiap persembahan Kuda Kepang, kumpulan pemain perlu menyerahkan pengeras dan wang sebanyak RM2.25 kepada Tok Bomoh dan tuan rumah untuk persembahan. Pengeras ini terdiri daripada kemenyan, air mentah, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur serta beberapa jenis kuih. Kumpulan pemain mengenakan bayaran yang tidak kurang dari RM200 untuk setiap persembahan.
Di dalam permainan kuda kepang, pemain-pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Bukan itu sahaja, pemain-pemain juga tidak boleh melihat kain merah kerana ini merupakan pantang larangan semulajadi. Selain itu, pemain-pemain juga tidak boleh melihat kaca kerana takut bahawa mereka akan memakan kaca itu.
Pembentang tajuk Kuda Kepang ini telah membuat Kerja Lapangan di Johor. Mereka agak bernasib baik kerana berasal dari Johor juga. Banyak pengetahuan tentang Kuda Kepang dapat diketahui melalui sesi temuramah antara ahli kumpulan pembentang dengan pemain Kuda Kepang. Pada masa kini, di Johor telah mengharamkan permainan Kuda Kepang. Saya sangat terkilan kerana ahli kumpulan tersebut tidak dapat mendapatkan maklumat secara terperinci lagi berkenaan Kuda Kepang. Ini juga menjadi satu sebab kenapa pemain pemain Kuda Kepang yang ditemuramah sukar memberi sepenuh kerjasama kerana bimbang sumber yang dinyatakan akan bercanggah dengan agama Islam.
Walauapapun, saya juga berasa sangat berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan. Walaupun terdapat sedikit kekangan di dalam menyiapkan tugasan ini, kumplan ini masih lagi berjaya melaksanakannya dengan hasil kerjasama semua ahli kumpulan.

4 comments:

bancha on October 30, 2010 at 10:36 PM said...

Keroncong UPSI memang hebat!!

~cikshue~ on October 31, 2010 at 8:52 AM said...

setuju dengan Bancha!!

Unknown on November 27, 2012 at 5:06 AM said...

foto tenor banjo (cak) diatas, copy dari blog saya tanpa izin .... (http://astroboyz.wordpress.com/2010/02/09/cak/)

. on December 14, 2013 at 9:12 AM said...

Maaf Saudara kristian wahyu adi nugroho. Nanti saya maklumkan kepada pelajar untuk membuat backlink. Terima kasih

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SURIANI Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template