Tuesday, July 27, 2010

MINGGU 2: JURNAL REFLEKSI

Assalamua'laikum dan salam sejahtera.

Kuliah pada hari Rabu (21 Julai 2010), adalah kuliah kedua yang diadakan pada minggu kedua semester ini. Keadaan kuliah pada minggu ini agak kurang selesa kerana ianya diadakan di makmal komputer. Dengan ruang yang sempit dan komputer yang terhad, sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung kami pelajar seramai 30 orang dalam satu masa. Tetapi, ianya tidak sekali mematahkan semangat kami untuk menuntut ilmu yang diajar oleh En. Amran.

Pada minggu ini, kami telah diterangkan mengenai pengenalan yang menjadi asas kepada kursus SMP2252. Di dalam topik ini, beliau telah menekankan lima elemen penting iaitu soundscape, budaya muzik, sejarah, kategori alat muzik dan konsep/struktur. Elemen pertama adalah berkaitan 'soundscape'. Secara jujurnya, saya tidak pernah mendengar dan mengerti apakah maksud 'soundscape' sebelum ini. Menurut En. Amran, Murray Schafer (1967) mentafsirkan 'sound' sebagai bunyi atau suara. Manakala 'scape', beliau mentafsirkan sebagai pemandangan. Maka, 'soundscape' adalah membawa maksud pemandangan bunyi yang merujuk kepada bagaimana karektor bunyi mengambil tempat dalam konteks lingkungan suara. Selepas itu, kami diperdengarkan pula satu rakaman. En. Amran meminta kami untuk membezakan antara bunyi paling jelas, merdu, jauh, dan selesa didengar.

Seterusnya, En. Amran meneruskan kuliah dengan memberi penerangan mengenai elemen kedua yang menjadi asas kepada kursus ini iaitu budaya muzik. Budaya muzik merangkumi tiga cabang penting iaitu komuniti, daerah, dan juga negara. Sebelum ini, saya tidak begitu faham dan mengambil tahu apa itu budaya muzik. Budaya muzik membawa erti penglibatan secara keseluruhan yang berkaitan dengan muzik. Sebagai contoh, masyarakat yang berlainan etnik mempunyai budaya yang berbeza. Budaya itu sendiri merujuk kepada 'The Way of Life' iaitu bagaimana cara atau perjalanan hidup sesebuah masyarakat yang sering diturunkan dari generasi ke generasi. Pada pendapat saya, budaya muzik mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat. sebagai contoh, kita dapat melihat berbagai kaum yang terdapat di Malaysia yang mengamalkan budaya muzik yang berlainan. Menurut En. Amran lagi, muzik membawa maksud apa sahaja yang boleh didengar tetapi ia dicipta dalam pelbagai cara oleh manusia.

Di sini, ingin saya kongsikan salah satu contoh budaya muzik di Kelantan, tempat kelahairan saya. Selain wayang kulit dan dikir barat, Kelantan juga terkenal dengan permainan 'Main Puteri'. Main Puteri dianggotai oleh dua watak utama iaitu Tuan Puteri dan Tok Minduk yang bermain rebab dan diiringi oleh paluan gendang ibu dan anak. Ketika Tuan Puteri dalam keadaan tidak sedarkan diri, semangat halus akan meresap ke dalam tubuh Tuan Puteri dan Tok Minduk akan menyoal makhluk hakus tersebut untuk memastikan punca penyakit. Main Puteri akan dimainkan selama satu hingga tiga malam untuk tujuan mengubati penyakit yang disebabkan rasukan makhluk halus, hilang semangat, ketidakseimbangan tenaga dalaman, dan juga gangguan angin. Main Puteri diiringi oleh peralatan muzik yang sama dengan Mak Yong seperti rebab, gendang dua kepala, dan tetawak.




Permainan Main Puteri

Sesungguhnya, sejarah muzik tradisional di Malaysia sangatlah menarik. Ianya merangkumi beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, sebahagian Thailand, Kampuchea, dan Filiphina yang telah dilihat dari sudut dunia Melayu lama. Antara muzik-muzik Melayu yang dipelajari pada minggu ini adalah dabus, rodat, kuda kepang, dan hadrah. Sebelum ini, kami banyak diberi pendedahan berkaitan sejarah muzik barat. Jadi, penglibatan kami di dalam kursus ini tidak sia-sia sama sekali. Kami dapat menambah pengetahuan yang sedia ada dan juga belajar banyak sejarah berkaitan muzik tradisional melayu. Sebagai contoh, jika sebelum ini, saya hanya mengetahui kuda kepang hanyalah sejenis tarian semata-mata. Tetapi kini, barulah saya tahu bahawa kuda kepang juga adalah salah satu tarian yang mempunyai unsur-unsur spiritual. En. Amran ada menayangkan video berkaitan kuda kepang ini. Pertama kali melihat tarian kuda kepang yang berunsurkan spiritual, saya begitu teruja dan ingin sekali mengetahui mengenainya dengan lebih mendalam lagi.

Kemudian, kuliah diteruskan lagi berkenaan elemen ketiga iaitu kategori muzik. Pada semester pertama, di dalam kursus Music Apreciation, kami telahpun mempelajari kategori alat muzik ini. Jadi, ianya tidak menimbulkan masalah untuk kami memahami apakah alat muzik yang terkandung di dalam kategori-kategori ini. Terdapat empat kategori alat muzik iaitu idiofon, kordofon, membranofon, dan aerofon.

Idiofon membawa maksud alat muzik yang menghasilkan bunyi daripada tindakbalas rangkanya yang bergema seperti saron dan bonang.


Bonang


Kodrofon pula membawa maksud alat muzik yang mengeluarkan bunyi dengan getaran pada tali seperti rebab, gitar, violin, cello, dan sebagainya.

Violin


Membranofon pula membawa maksud alat muzik yang menghasilkan bunyi daripada kulit yang diregangkan atau dipalu seperti gendang dan kompang.

Gendang


Dan akhir sekali adalah aerofon yang membawa maksud alat muzik yang menghasilkan bunyi daripada lubang udara seperti seruling dan flute.

Seruling

Seterusnya, elemen terakhir yang dipelajari adalah berkenaan struktur atau konsep muzik. Ianya merangkumi enam ciri-ciri penting iaitu melodi, ritma atau meter, harmoni, bentuk atau form, notasi, dan ekspresi. Sedikit kekeliruan berlaku dalam memahami istilah-istilah yang digunapakai di dalam kursus ini memandangkan sebelum ini, kami lebih terdedah kepda istilah-istilah Bahasa Inggeris walaupun maksudnya adalah sama. Tetapi, masalah ini kami dapat atasi dengan segera atas bantuan En. Amran. Walauapapun, kami dapat mempelajari banyak perkara baru selain dapat menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.

Akhir sekali, setelah mendapat banyak maklumat baru dan menarik di dalam kursus Muzik Tradisional Malaysia, rasa ingin tahu yang mendalam di dalam diri begitu membuak-buak. Ianya menjadikan saya tidak sabar-sabar lagi untuk mengikuti kuliah yang seterusnya. Harapan saya agar saya dan kawan-kawan terutamanya dari fakulti lain, akan dapat mengikuti kursus ini dengan seronok dan mendalam di bawah tunjuk ajar En. Amran.

Sekian, terima kasih.















0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SURIANI Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template